"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Enjin TUDM: Sarjan and ahli perniagaan dibicara 19 Julai

PETALING JAYA, 29 Mac: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 19 Julai depan perbicaraan kes seorang sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan seorang ahli perniagaan yang didakwa bersubahat mencuri dan menghapuskan enjin milik TUDM.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan tarikh bicara selama lima hari selepas pihak pembelaan memaklumkan mereka telah menerima kesemua dokumen yang diperlukan daripada pihak pendakwaan.

Mahkamah turut mendengar permohonan peguam Rakhbir Singh yang mewakili Sarjan N. Tharmendran agar ikat jamin anak guamnya dikurangkan kepada RM10,000 daripada RM150,000 dengan seorang penjamin atas alasan tidak berkemampuan.

Selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, hujahnya wang jaminan yang dikenakan terhadap Thamendran terlalu tinggi jika dibandingkan dengan nilai enjin yang didakwa dicuri itu.

Timbalan Pendakwa Raya Hamidi Mohd Nor ketika membantah permohonan itu berkata: “Nilai tidak boleh dilihat berdasarkan wang ringgit sebaliknya nilai enjin itu hendaklah dilihat dari sudut kepentingan dan keselamatan negara yang juga melibatkan sistem persenjataan negara iaitu melibatkan pesawat pejuang.

“Enjin yang didakwa pembelaan seperti besi buruk itu masih mempunyai nilai kerana enjin itu dihantar untuk dibaik pulih,” katanya.

Aslam yang mendengar hujahan permohonan itu kemudian menolaknya secara lisan dan mengekalkan nilai jaminan sebelum ini.

Pada 6 Jan lalu, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Manakala pengarah sebuah syarikat pembekalan, K. Rajandran Prasad, 38, turut mengaku tidak bersalah pada tarikh yang sama, didakwa dengan sengaja menghapuskan dua enjin TUDM itu di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

-Bernama-

Tiada ulasan: