"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Altantuya: Nazri pasif, tak minat selesai akuan bersumpah Bala

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 13 April:
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua kesal dengan sikap pasif Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang tidak berminat untuk menyelesaikan siasatan berhubung pengakuan bersumpah penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam dalam kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Tian Chua berkata, Nazri harus mengambil serius dalam kes itu kerana ia akan menimbulkan implikasi negatif terhadap pemimpin negara.

"Saya rasa hairan kenapa kerajaan tidak mengambil satu tindakan yang proaktif kerana apa yang berlaku ada implikasi serius terhadap pemimpin negara dan kalau betul Bala telah memberi keterangan yang palsu ini adalah satu jenayah.

"Kenapa kerajaan dalam menjawab soalan yang saya kemukakan berkata mereka tidak akan mengambil tindakan susulan terhadap Bala, mereka hanya akan secara pasif menunggu Bala untuk 'contact' semula kerajaan atau SPRM," katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen semalam.

Sebelum itu, Nazri sewaktu menjawab soalan Tian Chua dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyoal ahli perniagaan Deepak Jaikishan dan adik Perdana Menteri, Datuk Nazim Razak semasa menjawab soalan daripada Tian mengenai status siasatan berhubung dakwaan Balasubramaniam.

Tian juga menyifatkan kerajaan sebagai tidak ada niat untuk menyelesaikan kes Bala tanpa tindakan susulan untuk mendapatkan kebenaran kes tersebut dan membiarkan kes itu tergantung.

"Saya hanya boleh membuat kesimpulan bahawa kerajaan tidak ada niat untuk follow up untuk dapatkan kebenaran kepada kes ini," katanya.

Pada sidang media 3 Julai 2008, Bala mengedar satu akuan bersumpahnya berkaitan pembunuhan Altantuya, tetapi keesokannya menarik balik akuan bersumpah itu dan mengemukakan satu akuan bersumpah lain.

Dia kemudian menghilangkan diri dipercayai ke luar negara bersama keluarga.

Bala juga mendakwa adik Perdana Menteri, Nazim memintanya membatalkan akuan bersumpah pertamanya dan bersedia disiasat SPRM dengan syarat ia diadakan di luar negara.

Tiada ulasan: