Hashim Abdullah
TEMERLOH, 17 April: Para pengundi India di kawasan Parlimen Hulu Selangor dijangka akan melakukan undi protes kerana bosan dengan cara pemimpin Umno mengawal parti MIC sehingga menyebabkan pemimpinnya hilang kredibiliti.
Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Pahang, N Balasubramaniam berkata, beliau telah dua hari meninjau kawasan pilihan raya kecil itu dan mendapati masyarakat keturunan India tidak berpuas hati dengan cara pemimpin Umno menolak Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel sebagai calon BN.
“Kaum India tidak dapat menerima cara pemimpin Umno BN menjatuhkan pimpinan kanan MIC, seorang timbalan presiden parti komponen BN. Saya tengok MIC ada masalah kerana Umno Selangor kontrol. Mereka paksa calon tajaan Umno, ini bukan calon MIC, mereka tolak kepimpinan MIC, kita percaya kaum India marah,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya Pakatan Rakyat (PR) melalui calon Parti Keadilan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Ini, katanya ditambah pula dengan langkah kerajaan Selangor yang telah banyak berjasa kepada rakyat walau pun baru dua tahun memerintah.
“Kita nampak kerajaan Selangor telah menyumbang banyak jasa kepada semua rakyat tanpa mengira kaum walau pun dua tahun memerintah. Kita rasa peluang kita agak cerah tetapi kita perlu hati-hati dengan rasuah yang selalu dimainkan Umno/BN,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan