"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wee Choo Keong dijangka isytihar "bebas"

MerdekaReview

Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang menyarung jersi PKR ketika Pilihan Raya Umum ke-12, dijangka mengikut jejak ADUN Bakar Arang, Kedah Tan Wei Shu untuk keluar dari PKR dan menjadi ahli parlimen bebas.

Sumber dalaman PKR memberitahu MerdekaReviewbahawa Wee Choo Keong (gambar kanan) dijangka keluar dari PKR dan mengisytihar dirinya "bebas", mencetus ledakan "keluar parti" seterusnya.

Bagaimanapun, Wee Choo Keong enggan mengesahkan khabar ini ketika dihubungi MerdekaReview, sebaliknya meminta wartawan untuk mendedahkan identiti orang yang memaklumkan khabar tersebut. Permintaannya ditolak atas alasan melindungi sumber maklumat, lantas beliau membalas, "Saya tidak akan beritahu kamu kerana kamu tidak beritahu saya."

Beliau juga enggan menjawab apabila diajukan soalan sama ada beliau akan memanggil sidang media atau tidak.

PKR belum terima surat letak jawatan

Selain itu, ketika dihubungi MerdekaReview, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail memberitahu bahawa tiada surat letak jawatan (daripada Wee Choo Keong) diterima.

Wee Choo Keong ialah Setiausaha Agung Parti Demokratik Malaysia, bertanding di Wangsa Maju pada PRU ke-12 atas tiket PKR. Setelah menang dalam "tsunami politik" tersebut, beliau kerap menghadiri mesyuarat dan aktiviti PKR, tetapi tidak mengumumkan secara rasmi sama ada telah menyertai PKR.

Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada Ogos 2008, beliau mendakwa dirinya tidak memikirkan persoalan bubarkan Parti Demokratik Malaysia dan menyertai PKR, atau bergabung dengan PKR, kerana "terlalu sibuk". Menurut Wee ketika itu, beliau merasakan dirinya sudah berada dalam PKR.

Wee Choo Keong, antara wakil rakyat PKR yang tersenarai sebagai golongan "berisiko tinggi", malah desas-desus beliau keluar parti tidak terhenti sejak kebelakangan ini. Wee bagaimanapun menuding jari kepada "Little Napoleons" dalam PKR dan DAP yang menyebarkan khabar angin ini.【Khabar angin keluar parti angkara Little Napoleon PKR dan DAP, Wee CK】

Semalam, ketika ditemuramah Utusan Malaysia, Wee Choo Keong secara terus-terang membantah penamaan Zaid Ibrahim sebagai calon PKR atau Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor. Beliau menganggap Zaid Ibrahim bukan orang tempatan yang memahami keperluan pengundi Hulu Selangor, ditambah pula dengan gaya hidup elit serta liberal yang diamalkannya.

Malah, Wee Choo Keong menyindir jika Zaid Ibrahim menang sekalipun, pembaharuan yang mungkin dibawa oleh Zaid Ibrahim di Hulu Selangor ialah lebih banyak pusat hiburan diwujudkan dan bukannya kemajuan seperti yang dikehendaki rakyat.

Sumber http://www.merdekareview.com/

Tiada ulasan: