Beliau berkata demikian ketika dihubungi Tv Selangor, mengulas kenyataan Khairy yang mendakwa Shamsul dan Naib Presiden PKR, Azmin Ali tersinggung dengan pemilihan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding di P94 Hulu Selangor.
“Khairy tidak faham cara Pakatan Rakyat berpolitik sebab itu dia buat kenyataan seperti itu kerana pertembungan dalam Barisan Nasional itu adalah pertembungan di antara parti.. kita meletakkan calon yang baik untuk menang. Itu kayu ukurannya” katanya kepada Tv Selangor.
Jelasnya, pendirian Pakatan Rakyat memilih Zaid telah dibincang dan diputuskan bersama.
Malah katanya kenyataan Khairy itu hanyalah berdasarkan kepada tafsiran peribadi setelah membaca laporan Reuters yang menyebut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih penggantinya sebagai calon di Hulu Selangor.
”Siapa yang bakal menjadi pengganti Anwar itu tidak timbul kerana dalam Keadilan ini ada ramai lagi yang boleh mengganti Anwar Ibrahim” tambahnya lagi.
Sebagai sebuah parti politik yang matang, Shamsul berkata Pakatan Rakyat tidak mungkin mengambil pusing kenyataan Khairy itu.
“Pada saya kita tidak akan terkesan dengan cakap-cakap jahat dan nakal daripada Khairy Jamaluddin”.
Khairy dalam sidang media di lobi parlimen semalam berkata, kedua-dua pemimpin muda Pakatan Rakyat sedih dengan pemilihan Zaid.
Penamaan calon pilihanraya kecil Hulu Selangor akan diumumkan esok dan proses pembuangan undi pada 25 April ini.
Pakatan Rakyat meletakkan bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon manakala BN meletakkan P. Kamalanathan dari MIC untuk merebut kerusi P94 Hulu Selangor.
Sementara seorang calon bebas, Pengerusi MIC Bahagian Hulu Selangor V. S. Chandran juga mengumumkan akan bertanding di Hulu Selangor.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat hari ini 37 borang telah diambil dan hanya seorang calon yang membayar wang pertaruhan.
-tvselangor-
-tvselangor-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan