"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zaid sudah berubah, kata pemimpin Pakatan

HULU SELANGOR, 17 April: Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mempertahankan Datuk Zaid Ibrahim, yang didakwa kaki sosial, dengan menegaskan calon mereka itu bagi kawasan Hulu Selangor ini sudah berubah.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Zaid, bekas menteri persekutuan sudah memperlihatkan perubahan sejak beliau balik dari Mekah.

“Saya tidak baca blog, jadi saya tidak tahu, tetapi sebagai orang Islam, kita perlu bertanya dengan tuan badan sendiri... bukannya mempercayai blogger,” katanya.

Hadi, Ahli Parlimen Marang, ditemui di Pusat Penamaan Calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru di sini hari ini.

Zaid, 59, bekas Ahli Parlimen Kota Baru, diturunkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pengundian diadakan pada 25 April ini.

Hadi diminta mengulas dakwaan banyak blogger yang mengatakan Zaid seorang yang kuat bersosial dan kaki minum serta tidak sesuai langsung dijadikan calon PR untuk pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Sebaliknya Hadi yakin pihaknya mampu memenangi pilihan raya ini kerana sokongan penduduk yang amat tinggi kepada calon yang dikemukakan.

“Kita boleh membuat kejutan di sini,” katanya.

Berhubung soalan mengenai tindakan Zaid yang pernah menyaman kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu kerana mahu mewujudkan hukum hudud, Hadi berkata, perkara itu sudah diselesaikan.

“Zaid sudah tarik balik saman tersebut, jadi sekarang perkara tersebut bukan lagi menjadi isu,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim juga berkata, Zaid sudah banyak berubah dan tidak wajar menimbulkan perkara berkenaan.

“Ya, saya kisah Zaid telah berubah daripada tatacara, tatatertib ini.

“Kalau nak tengok karektor seseorang, kita kena tengok orang itu dari kecil sampai jadi datuk.

“Umno tidak boleh guna isu ini sebagai bahan kempen, ramai yang tahu bahawa orang Umno pun ramai tergolong dalam hal ini (minum arak),” kata Khalid, yang merupakan pengarah jentera pilihan raya kecil bagi PKR.

Pengerusi PKR Selangor ini berkata, jika isu Zaid menjadi satu masalah adakah umat Islam akan menolak saudara baru yang pernah makan khinzir dan minum arak apabila mereka masuk Islam.

Malah kata Khalid, jika pengundi kawasan Kota Baru yang konservatif boleh menerima beliau wakil rakyat enam tahun lalu, tiada sebab beliau tidak akan diterima di kawasan Hulu Selangor.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: