"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azmin cabar Umno bukti perangai negatif Zaid

G. Manimaran

HULU SELANGOR, 17 April: Naib Presiden PKR Azmin Ali sambil menyangkal andaian bahawa hubungannya dengan Datuk Zaid Ibrahim dingin, mencabar Umno membuktikan calon Pakatan Rakyat (PR) itu mempunyai perangai buruk termasuk minum arak.

“Kalau ada bukti, buktikan... apakah Najib tiada akhlak tidak baik, pemimpin-pemimpin Umno ada perangai baik (sahaja),” kata beliau ketika ditemui di Kompleks Serba Guna Sukan di sini, tempat berlangsungnya penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau akan meminta Umno agar membuktikan bahawa Zaid mempunyai perangai buruk sebagaimana didakwa mereka, Azmin memberitahu, pihaknya sudah banyak kali membuat cabaran termasuk soal APCO.

“Banyak yang kita sudah buat cabaran termasuk APCO... tak jadi apa-apa pun,” katanya.

Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa isu APCO Worldwide ke Dewan Rakyat tiga minggu lalu, mempertikaikan peranan firma itu dalam merangka konsep 1Malaysia.

Zaid (tengah) berjabat tangan dengan penduduk Hulu Selangor hari ini. - Gambar oleh Jack Ooi

Firma itu didakwa mempunyai kaitan dengan pembentukan konsep One Israel.

Azmin, Ahli Parlimen Gombak juga mempersoalkan mengapa sekarang pemimpin-pemimpin hendak mempersoalkan “sikap dan perangai” Zaid sedangkan beliau sudah lama berada dalam parti itu.

“Mengapa sekarang apabila beliau berada dalam Keadilan baru hendak mempersoalkan Datuk Zaid,” katanya.

Menjelaskan hubungan dengan Zaid yang didakwa tidak baik, Azmin tidak menafikan beliau mempunyai perbezaan pendapat dalam banyak isu tetapi pendirian itu sentiasa dinyatakan dalam mesyuarat PKR.

“Tetapi apabila parti membuat keputusan, saya patuh dengan apa yang diputuskan,” katanya.

Menjawab soalan beliau tidak hadir pada majlis pengumuman calon PR di Serendah Selasa lalu, Azmin memberitahu, ia tidak harus dianggap yang beliau tidak bersetuju dengan pemilihan Zaid sebagai calon.

“Saya secara kebetulan kena berada di Shah Alam kerana sidang Dewan Undangan Negeri dilanjutkan sehingga malam, sebagai pengerusi kelab penyokong kerajaan saya kena berada di Dewan,” katanya.

Azmin berkata, beliau menyokong pemilihan Zaid sebagai calon kerana bekas menteri Kabinet itu merupakan yang terbaik daripada 10 nama yang ditimbangkan oleh parti.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: