"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Calon Bebas Chandran tidak kisah jika MIC pecat

Syed Mu’az Syed Putra

HULU SELANGOR, 17 April: Calon Bebas, V. S. Chandran hari ini menyatakan pendirian beliau tidak kisah sekiranya dipecat dari MIC kerana sudah muak dengan kepimpinan tertinggi parti tersebut.

“Tiada masa, saya tidak kisah sekiranya dipecat daripada menjadi ahli MIC, saya mahu menjadi wakil rakyat bukan ahli MIC.

“Sudah cukup 30 tahun lebih saya berkhidmat untuk MIC, saya sudah muak dengan Datuk Seri Samy Vellu (Presiden MIC) yang hanya tahu bercakap sahaja tetapi tidak pandai menunaikan janji.

“Apa yang keluar daripada mulut beliau (Samy Vellu) tidak boleh pakai,” katanya kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Samy yang mengatakan bekas timbalan ketua MIC Bahagian Hulu Selangor itu akan dipecat daripada MIC.

Samy berkata Chandran telah melanggar peraturan dan prinsip parti dengan bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil.

Chandran berkata, beliau telah memulakan kempen pilihan raya sebaik sahaja proses penamaan calon selesai pagi tadi.

“Saya telah memulakan kempen bersama penyokong-penyokong saya dengan berjumpa pengundi-pengundi dan menerangkan kepada mereka mengapa saya bertanding dalam pilihan raya ini.

“Selama berkhidmat dengan MIC saya telah banyak membantu penduduk di Hulu Selangor terutamanya ketika kecemasan.

“Saya tidak kisah untuk bekerja selama 24 jam, demi rakyat di sini saya tidak kisah. Yang penting mereka (rakyat) dapat dibantu kerana sebagai wakil rakyat itulah kewajiban saya nanti.

“Selain itu, saya juga telah memilih jam sebagai logo bendera saya kerana bagi saya masa amat penting dalam kehidupan dan juga sebagai wakil rakyat,” katanya lagi.

Pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor menyaksikan saingan empat penjuru.

Pakatan Rakyat (PR) diwakili Datuk Zaid Ibrahim, Barisan Nasional (BN) meletakkan muka baru P. Kamalanathan dan seorang lagi calon Bebas Chandran.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: