Atas semangat demoksrai tulen marilah kita menerima hakikat itu, dan mengucapkan tahniah kepada Kamalanthan dan BN atas kemenangan itu dan marilah pula kita meminta supaya PKR dan Zaid Ibrahim bersabar menerima kekalahan itu dengan penuh redha setelah memaklumi tentang kerenah politik yang bersendikan kepada 4C.
Lipat dan simpan bendera parti sebaik mungkin untuk dibuka semula bila ada medan perlawanan. Jangan bila sudah kalah mencarikan dan 'keronyok' bendera, meninggalkan bendera terus tercegak atas paksinya dibiarkan lusuh dan buruk ditelan hujan dan panas. Sikap itu sikap tidak bertanggungjawab dan mereka yang tidak berjiwa besar dan pejuang tulen. Sekali kalah, ayuh... bangkit melangkah memburu sejuta kemenangan. Ingat di sebalik kekalahan ada kemenangan yang kita kadang-kadang lupa untuk mengsyukurinya.
"Kalau kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatnya,"
Kepada BN kemenangan itu bukan sesuatu yang besar sangat dan boleh dicanangkan kepada seluruh dunia. Pastinya Barrack Obama tidak akan merasai apa-apa perubahan drastik terhadap Malaysia atas kemenangan BN itu. Mungkin, Obama tidak pun tahu bahawa di sebuah kawasan di Hulu Selangor sedang berlansgung pertaruhan menantukan maruah dua orang manusia Najib Razak dan Anwar Ibrahim.
Pihak kalah bukan mengalami kekalahan semuanya. Kerana dalam kekalahan itu ada hikmah yang terselit untuk direnungi kemudian buat perubahan. Memahami dan menerima kekalahan itulah sebenarnya kemenangan.
Tidak dapat tidak BN akan melaungkan kemenangan itu kerana kelebihan, kecanggihan dan juga kerana tema 1 Malaysia yang mendasari pilihan raya itu diterima rakyat. Benarkah begitu? Najib Razak dan ulasan-ulasan di pihak BN mula menyimpulkan konklusi begitu. Kalau ia benar, kepada saya penerimaan itu hanya oleh 2,018 orang sahaja, iaini dikutip dari angka penambahan undi BN berbanding dengan undi diperolehi oleh Palanivel 2008.
Malahan kemenangan itu tipis berbanding dengan sasaran dibuat Muhyiddin Yassin untuk mendapat mojoriti 6,000 itu. Mereka yang masak dan matang dengan politik tidak gembira dengan angka itu, kecualilah peminat politik baru lepas sekolah menengah. BN boleh mendabik dada kalau majoritinya lebih 3,000 iaini separuh dari apa yang disasarkan.
Najib perlu ingat masih banyak lagi yang belum menerima slogan 1 Malaysia. Dalam konteks pilihan raya itu rakyat Cina jelas menolak 1 Malaysia. Ini berdasarkan kepada lonjakan pengundi Cina yang dianggar 75 peratus ke atas menyokong PKR alias Pakatan Rakyat. Persoalan lain, apakah Najib tidak mengira penerimaan itu disebabkan undi dipengaruhi dengan kebendaan agar menerimanya? Umum tahu jumlah yang dibelanjakan BN untuk membeli undi baik secara legal dan ilegal di dalam pilihan raya berkenaan.
Juga kemenangan di Hulu Selangor itu bukan kemenangan 1 Malaysia tetapi kemenangan Umno yang memimjam secara paksa dan perkosa calon MIC Kamalanthan.
Dan sekiranya benar dakwaan Zaid pengundi dibeli malam dan siang, itu bermakna penerimaan terhadap 1 Malaysia itu selepas pengundi dituba dengan wang ringgit, janji projek dan sebagainya. Penerimaan itu tentu juga kerana aksi provokasi yang menjadikan rakyat kampung menjadi kecut perut dan terpaksa memilih 1 Malaysia.
Sesungguhnya Najib tidak perlu selesa dengan hakikat yang dicerminkan dalam pilihan raya itu terhadap slogan 1 Malaysia. Apa lagi pengundi Hulu Selangor yang rata-rata dari kalangan rakyat yang tidak bebas pemikirannya, tidak bebas pergerakannya untuk membuat keputusan sendiri. Misalnya mereka yang yang berada dalam empat gugusan Felda adalah sebahagian besarnya mereka yang telah lama disuntik dengan pelali angguk dan terima saja apa yang ada.
Realiti ini boleh diperhatikan kepada aliran pengundian di mana peti undi dari gugusan Felda saja yang sarat dengan undi BN manakala peti undi dari luar berkedudukan hampir sama rata manakala peti undi yang dimonopoli China dan di peti undi kawasan bandar dikuasi oleh PKR. Kesimpulan mudah dari keadaan ini BN masih disokong oleh orang kampung, manakala Pakatan Rakyat disokong oleh orang bandar atau celik IT.
Persoalan mengenai Felda dan orang Melayu yang bernostalgia, bilakah mereka akan berubah? Merujakan saya apabila Orang Asli yang dianggap primitf dalam serba serbi tetapi kali ini menunjukkan mereka juga ingin kepada perubahan, beralih angin dari terus hanya menerima janji yang disumpitkan oleh BN kepada perubahan yang ditawarkan Pakatan Rakyat. Apakah Orang Asli akan mengalami tamadun kedua berbanding dengan orang Melayu tradisi?
Begitu juga Najib tidak boleh berbangga dengan kemenangan itu kerana ianya kerusi PKR sebelum ini dan Selangor adalah kerajaan. Kalau itulah alasan maka Pakatan Rakyat juga boleh berbangga seperti Najib itu kerana Pakatan Rakyat menerusi Pas berjaya merampas kerusi UBN di Kuala Terengganu dulu, dan negeri itu asalah negeri diperintah UBN.
Zaid sendiri dalam ucapan selepas kekalahan, berharap semoga rakyat Hulu Selangor akan menerima Pakatan Rakyat di masa akan datang. Kekalahan Zaid itu juga tidak memalukan dan masih bermaruah kerana beliau bukan kalah di gelanggang sendiri, tetapi kalah di rantau orang. Iya, sejauh mana kuat dan gagahnya kita bila berada di rantau orang , bila berlawan tentulah tepok soraknya dan sokongannya akan lebih kepada pihak lawan. Kekalahan di rantau orang lebih mulia dari menang dalam geluk dengan meminjamkan lambang orang lain.
Pada saya, dalam keadaan dagang tetapi masih tetap berjaya menjaga undi yang diperolehi Dr Zainal Abidin Ahmad (Allahyarham) 2008 dulu, ia adalah satu kejayaan yang boleh dibanggakan. Tahniah sekali lagi kepada Kamalanathan dan syabas buat Zaid dan PKR kerana dapat mempertahankan sokongan Pakatan Rakyat di negeri kawasan Hulu Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan