Ismail Hashim
KLANG, 28 April: Mangsa tembakan rambang polis pada 16 April 2009, Shahril Azlan Ahmad Kamil melahirkan rasa terkejut yang amat sangat ekoran kejadian yang pernah menimpa ke atas dirinya setahun lalu berulang lagi kepada pelajar, Aminulrasyid Amzah, 15, pada 26 April lalu juga di Shah Alam.
Beliau yang mengucapkan takziah kepada anggota keluarga pelajar itu turut menyifatkan kejadian itu sebagai satu tindakan yang sangat tidak profesional kerana tanpa sebarang komunikasi sebelum menembak sehinggakan terasa seperti suasana di negara ini berada di dalam keadaan darurat.
"Mereka langsung tidak bertanya apa-apa terus sahaja menembak tanpa usul periksa," tegasnya ketika ditemui oleh wartawan dari sebuah akhbar mingguan politik, Siasah hari ini.
(Gambar: Selepas setahun, parut masih ada pada badan Shahril. Kesan tembakan itu menyebabkan paru-parunya bocor, sukar tidur malam, kaki dan tangannya kebas selalu dan tidak boleh memandu jauh)
Menurutnya, sehingga kini sudah setahun beliau menderita menanggung segala sengsara zahir dan batin tanpa sebarang pembelaan paling wajar dari mereka yang bertenggungjawab melakukan tindakan sangat tidak adil itu.
Untuk rekod, kejadian itu menyebabkan paru-paru anak sulung dari sembilan beradik berasal dari Sabak Bernam dan kini tinggal bersama keluarga di Kapar ini bocor; sukar tidur malam, kebas kaki kiri dan tidak boleh memandu jauh.
Laporan penuh cerita beliau dalam akhbar Siasah Jumaat ini.
Baru-baru ini, seorang pelajar berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah meninggal dunia akibat terkena tembakan polis pada kepalanya selepas lari dengan kereta keluarganya.
Ekoran itu, pelbagai pihak mendesak pihak polis jangan menutup kes ini dan membuat penyiasatan dan memberikan hukuman yang sewajarnya ke atas anggotanya yang terlibat.
Peguam keluarga mangsa, N Surideran menyifatkan kes ini sebagai satu pembunuhan.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula meminta polis supaya melindungi dua saksi utama kes yang membabitkan empat pegawai polis, pagi semalam.
"Salah seorang saksi utama adalah anak polis sendiri, saya harap pihak polis beri jaminan dia ini dilindungi," jelas beliau di Pusat Khidmat Masyarakat di Parlimen Shah Alam, di sini pagi tadi.
Beliau turut meminta polis supaya tidak melakukan sebarang inisiatif untuk mengubah laporan kedua-dua saksi terbabit supaya selari dengan dakwaan polis sebelum ini iaitu mangsa ditembak kerana suspek kumpulan samun bersenjata.
"Jangan ada usaha-usaha nak mempengaruhi saksi ini supaya ubah atau mereka-reka cerita (supaya) sealiran dengan polis," jelas beliau sambil memberitahu media bahawa beliau sendiri bertanggungjawab membawa saksi utama terbabit pergi membuat laporan polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan