"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiada ‘team’ dalam pemilihan PKR, kata Wan Azizah

BUKIT MERTAJAM, 19 Sept: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata pertandingan merebut jawatan di bawah sistem pemilihan langsung — julung kali diadakan — tidak akan memecahbelahkan parti tersebut.

Sebaliknya, menurut beliau, amalan demokrasi sepenuhnya yang dilaksanakan oleh PKR adalah satu tindakan positif yang julung-julung kali diadakan dalam negara ini bagi memberi kuasa penuh secara total kepada semua ahli menggunakan hak mereka dalam memilih pimpinan.

Dr Wan Azizah (gambar) berkata demikian semasa berucap pada mesyuarat agung tahunan cabang Permatang Pauh yang beliau ketuai.

Dalam pemilihan cabang tersebut, Dr Wan Azizah kekal menang tanpa bertanding manakala Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman turut menang tanpa bertanding jawatan timbalan ketua cabang setelah dua pencabarnya menarik diri.

Cabang itu turut mencalonkan Dr Wan Azizah bagi jawatan presiden.
Sementara itu bagi jawatan Timbalan Presiden, Azmin Ali mendapat sokongan penuh perwakilan dan Mansor, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Dr Xavier Jayakumar dan Dr Lee Boon Chye telah dicalonkan untuk kerusi naib presiden.
Dalam ucapannya Dr Wan Azizah juga berkata ahli PKR tidak harus mudah terpengaruh dengan pelbagai isu yang ditimbulkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) kebelakangan ini.

“Selagi mereka tidak berjaya mendapat kuasa yang telah hilang, maka selagi itulah Umno dan BN akan meneruskan agenda mereka bagi mengelirukan masyarakat khususnya orang Melayu supaya menganggap bahawa Pakatan Rakyat (PR) adalah sebuah parti yang tidak memberi perhatian terhadap masyarakat Melayu.

“Sentimen yang mereka mainkan ini akan menjerumuskan kita ke kancah kekeliruan yang akan menjadikan kita bercelaru dan sentiasa dalam dilema.
“Oleh itu, sebagai pendukung PR kita harus yakin bahawa kepimpinan dalam komponen PR akan sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat dari mengutamakan kepentingan peribadi dan individu.

“Kita juga tidak mempunyai 'team' atau kumpulan dalam pemilihan parti. Siapa sahaja yang mampu untuk memikul tanggungjawab adalah berhak untuk dinobatkan sebagai pemimpin untuk memimpin dan membela nasib masyarakat yang memerlukan pembelaan,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: