"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis Lebih Tumpu Kes Berprofil Tinggi - Khalid Samad

SHAH ALAM 19 SEPT: Kegagalan polis merungkai kehilangan empat individu hilang yang ada kaitan dengan suspek kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, mengambarkan pihak berkuasa itu cuma memandang berat kes berprofil tinggi.


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kesal kerana empat laporan orang hilang dengan aduan terbaru dibuat Januari lalu, tidak mendapat layanan sebagaimana siasatan polis terhadap kes pembunuhan jutawan kosmetik itu.

"Tindakan polis patut dipuji dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati kerana kita dapat lihat betapa cepat dan lancar polis sejak mendapat laporan kehilangan jutawan itu. Dari proses mencari bukti hinggalah kepada penangkapan suspek.

"Tetapi, pada masa sama, polis gagal mengambil tindakan terhadap empat laporan terdahulu yang antaranya kehilangan seorang peniaga warga India yang dikaitkan secara langsung dengan suspek kes ini. Tindakan yang tidak konsisten ini menimbulkan tanda tanya.

“Adakah kerana kes ini berprofil tinggi? Apakah polis memilih kes berdasarkan profil dan menyebabkan tiada tindakan berkesan ke atas kes kehilangan lain lantaran mangsa adalah individu yang tidak dikenali dan tiada hubungan politik?"
Bercakap kepada TV Selangor, Khalid yakin, jika polis menggunakan sumber tenaga yang sama dalam kes Sosilawati ketika mengendalikan kes orang hilang, suspek mungkin tidak berpeluang melakukan jenayah lagi.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan suspek itu yang dikaitkan dengan sebuah parti komponen kerajaan pemerintah, mengguna saluran politik bagi mengelak siasatan polis.

Katanya, situasi seumpama itu memberi gambaran jelas berkaitan isu campur tangan pihak ketiga yang didedahkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, hingga menjejaskan keupayaan pihak berkuasa itu.

Meminta polis memberi layanan sama rata terhadap aduan yang diterima tanpa memandang darjat pengadu, Khalid berkata, polis berupaya bertindak cekap jika tiada campur tangan pihak ketiga tetapi hal sebaliknya berlaku apabila mendapat halangan dari pihak berkepentingan.
-tvselangor-

Tiada ulasan: