"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Aziz sakit tenat, fitnah

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 8 Dis: Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Yussof, menafikan khabar angin yang mendakwa Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sakit tenat.

Beliau yang menghubungi HarakahDaily pagi tadi memberitahu, dakwaan itu bukan sahaja tidak benar, sebaliknya berunsur fitnah.

Menurutnya, Tuan Guru Menteri Besar Kelantan hanya kepenatan selepas menghadiri majlis besar dua hari berturut-turut ditambah pula sejak pulang dari Makkah menunaikan fardu haji baru-baru ini beliau belum berehat.

“Kerana itu beliau kepenatan, dakwaan mengatakan beliau ke hospital malam tadi kerana sakit tenat dan dikejarkan dengan ambulans hanya palsu semata-mata,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pagi tadi Tuan Guru menunaikan solat Subuh di Masjid Pulau Melaka sebagaimana biasa.

Wan Nik seterusnya berkata, beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Sulit Khas MB, Rushdi bahawa Tuan Guru ingin ke pejabat hari ini sebagaimana biasa, apa lagi dua majlis sedang menunggu beliau.

“Bagaimanapun, beliau dinasihatkan supaya berehat di rumah sahaja,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya orang ramai bertenang dan jangan menelan bulat-bulat khabar angin tersebut.

Tiada ulasan: