"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tidak perlu fatwa larang bukan Islam petik al-Quran, kata Nakhaie

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata tidak perlu bagi 
Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan fatwa bagi melarang orang bukan Islam membaca dan membuat huraian terhadap teks al-Quran sebagaimana disaksikan ketika Kongres Nasional PKR baru-baru ini. 
 
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Nakhaie berpendapat bahawa fatwa bagi melarang orang bukan Islam membaca dan membuat huraian terhadap teks al-Quran tidak perlu digubal.

Bagaimanapun Nakhaie menegaskan, sesiapa sahaja sama ada orang Islam dan orang bukan Islam tidak boleh membaca dan membuat huraian al-Quran sekiranya tidak terlebih dahulu memahami maksud sebenarnya ayat tersebut.

“Ia bukan tertakluk kepada orang bukan Islam sahaja tetapi orang Islam juga, kalau tidak faham tentang ayat al-Quran jangan tafsir apatah lagi mengatakannya di khalayak ramai.

“Sesiapa sahaja yang nak tafsir ayat al-Quran kena belajar betul-betul supaya faham kemudian apa yang ditafsirkan itu lebih tepat dan jelas.

“Jadi bagi saya fatwa untuk halang orang bukan Islam tidak wajar kerana kita tidak boleh halang mereka untuk kaji al-Quran tapi jangan cakap kalau tak faham,” katanya.

“Kita tidak boleh larang orang bukan Islam untuk kaji al-Quran tapi kalau nak kaji biarlah teliti betul-betul, jangan main-main,” tambah Nakhaie.

Beliau berkata al-Quran boleh dikaji oleh sesiapa sahaja termasuk orang bukan Islam tetapi dengan syarat perlu faham maksud sebenar sebelum membaca atau membuat huraian.

“Al-Quran boleh dikaji termasuk oleh orang bukan Islam juga tetapi kena faham tafsirannya dulu sebelum nak cakap apa-apa tapi kalau nak keluarkan fatwa untuk halang tidak bolehlah.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: