"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRU13: BN mungkin hilang banyak kerusi, ramal The Economist

Boo Su-Lyn
KUALA LUMPUR, 7 Dis: The Economist meramalkan Barisan Nasional (BN) kemungkinan akan hilang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum tergempar - yang disebut-sebut akan diadakan pada suku pertama tahun depan, antara lain disebabkan kemerosotan sokongan kalangan pengundi Melayu muda dan yang moderat.

Laporan Economist Intelligence Unit juga menggariskan kekecewaan di kalangan golongan muda yang semakin meningkat dengan sikap Umno dilihat terus diselubungi skandal politik dan begitu kuat mengembangkan nilai-nilai Islam.

Semalam, ahli politik veteran Tengku Razaleigh Hamzah juga menyifatkan peluang BN untuk memperoleh kemenangan dua pertiga dalam pilihan raya umum ke-13 sememangnya “sukar” kerana terpaksa berhadapan dengan pengundi semasa yang sudah banyak berubah citarasa.

Justeru Tengku Razaleigh mengingatkan BN yang mengadakan konvensyen sehari semalam supaya tidak terlalu yakin untuk mendapat kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13 kerana sehingga kini masih tiada jaminan gabungan 13 parti komponen itu boleh mendapat kemenangan besar.

Tengku Razaleigh telah memainkan peranan besar bagi Umno-BN memperoleh kembali kerusi Dewan Undangan Negeri Galas pada pilihan raya kecil diadakan awal bulan lalu.

“Kemungkinan besar keputusan pilihan raya umum akan datang ialah BN akan kalah lebih banyak kerusi memandangkan pengundi muda Melayu, yang moderat, kecewa dengan skandal-skandal politik dan Umno yang (dilihat) kuat menggalakkan nilai-nilai Islam, enggan memberi sokongan mereka kepada parti yang memerintah,” kata majalah itu dalam laporan edisi terbaru Disember mengenai Malaysia.

Semalam, bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dihadapkan di mahkamah berhubung isu pemilihan tanah. Beliau juga ketua pembangkang Selangor.

Bulan lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan BN, yang parti terasnya Umno, akan merampas balik satu atau dua negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat, tetapi kemungkinan tidak akan memperoleh balik majoriti dua pertiga di Parlimen. Laporan itu juga menekankan bahawa golongan Melayu liberal dan kelas pertengahan sudah pun beralih daripada parti Melayu terbesar itu untuk menyokong Pakatan Rakyat - pembangkang peringkat persekutuan.

“Meskipun pengundi-pengundi muda di kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia terus menyokong Umno, sejumlah (pengundi) dalam jumlah yang signifikan di kalangan golongan Melayu berpelajaran, kelas pertengahan beralih daripada parti Melayu yang memerintah untuk memihak pembangkang,” kata laporan itu.

Bagaimanapun laporan itu juga menyebut Pakatan Rakyat kemungkinan akan gagal untuk menawan Putrajaya walaupun boleh menerokai kejayaan lebih baik berbanding 2008.

“Pakatan Rakyat akan memperoleh kejayaan, walaupun akan berhadapan dengan masalah dalaman selepas kemungkinan Anwar dikeluarkan daripada arena politik, tetapi perikatan pembangkang tidak mungkin akan memperoleh kerusi secukupunya untuk membentuk sebuah kerajaan (persekutuan),” kata laporan itu.

Malah laporan itu juga meramalkan bahawa Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan disabitkan kesalahan berhubung tuduhan liwat kedua yang sedang dihadapnya.

Kes itu sedang didengar oleh Mahkamah Tinggi.  -malaysianinsider-

Tiada ulasan: