"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis punca masalah kesesakan lalu lintas Ahad lalu

INTAN ABDULLAH
KUALA LUMPUR: PAS mengecam tindakan sesetengah pihak yang mendakwa himpunan aman yang dijalankan kerajaan negeri Selangor pada 5 Disember lalu menyebabkan masalah lalu lintas di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefli Ahmad menempelak dakwaan berkenaan dengan menyatakan segala masalah tersebut terletak kepada peranan pihak berkuasa yang mengawal lalulintas termasuk pasukan keselamatan yang diketuai pihak polis.

"Sebenarnya pada hari tersebut, pihak polis telah mengambil tindakan mewujudkan sekatan tanpa sebab di semua jalan utama yang menghala ke Masjid Negara, Istana Negara serta beberapa lokasi lain yang menjadi tumpuan himpunan," katanya ketika dihubungi Harakah baru-baru ini.

Ujarnya, pihak keselamatan tidak mempunyai alasan untuk mengadakan sekatan pada hari berkenaan melainkan ianya sengaja untuk menyusahkan rakyat khususnya para peserta himpunan.

"Tetapi kemudian mereka menyalahkan orang yang berhimpun secara aman memandangkan tiada perarakan dijalankan pada hari berkenaan sekaligus menunjukkan pihak polis tidak bertanggungjawab dalam mengakibatkan masalah tersebut," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa himpunan membantah penswastaan tarif air negeri selangor mendakwa tindakan menuding jari ke arah rakyat yang bangkit menyuarakan isu melalui himpunan berkenaan sebagai suatu jenayah atau punca masalah kesesakan melambangkan pihak berkenaan yang tidak bertamadun dan tidak memahami undang-undang.

"Polis yang ditugaskan menjaga keamanan dan menjamin kesejahteraan rakyat seharusnya berperanan dalam memastikan segalanya berjalan lancar sebaliknya mereka pula yang bertindak ganas serta menafikan hak rakyat yang diperuntukkan oleh perlembagaan.

"Merekalah yang seharusnya bertanggungjawab dalam hal ini dan bukannya menuding jari kepada orang awam - tindakan mereka harus atas kepentingan orang ramai kerana perhimpunan tersebut berlangsung dalam suasana yang aman," katanya.

Sebaliknya keadaan bertukar menjadi tegang setelah perarakan dihalang oleh anggota keselamatan selepas mereka bergerak hampir 200 meter meninggalkan perkarangan Masjid Negara.

Lebih parah lagi, pihak anggota simpanan persekutuan (FRU) melepaskan lebih 20 das tembakan gas pemedih mata ke arah peserta himpunan yang mengakibatkan mereka lari bertempiaran masuk ke kawasan sekitar bangunan Keretapi Tanah Melayu Berhad serta Pusat Islam.

Pada akhir himpunan pula, kira-kira 51 orang telah ditahan.

Tiada ulasan: