"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rasuah: Shariff Jajang diperintah bela diri

Mahkamah Sesyen di Klang hari ini memerintahkan bekas anggota exco kerajaan Selangor Datuk Mohd Shariff Jajang membela diri terhadap tuduhan rasuah berhubung satu permohonan tanah di Sepang 14 tahun lalu.

Hakim Yong Zarida Sazali membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan terdapat kes prima facie terhadap Mohd Shariff, 67, yang juga bekas ADUN kawasan Dengkil.

Mahkamah menetapkan 4, 6, 7 dan 8 April ini bagi Mohd Shariff membela diri.

Seramai 32 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada tahun 2004.

sharif jajang
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulkarnain Hassan dan Mohd Baharuddin Ahmad manakala Mohd Shariff (kiri) diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah, Badrul Munir Bukhari dan Amy Chong Boon Chin.

Terdahulu, Badrul Munir yang menyebut bagi pihak Muhammad Shafee, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memaklumkan kepada mahkamah secara bertulis sama ada Mohd Shariff akan memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi, memberi keterangan dari kandang tertuduh atau berdiam diri.

Mohd Shariff didakwa sebagai ADUN kawasan Dengkil (semasa kejadian) yang dilantik menjadi Anggota Jawatankuasa Tanah Daerah Sepang telah melakukan perbuatan rasuah iaitu mengambil bahagian dalam mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah Sepang yang memperakukan permohonan Lesen Menduduki Sementara tanah seluas 1.2 hektar di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, kepada Institut Kemahiran Memandu Sepang Sdn Bhd (IKMAS), anak syarikat Konsortium Sepang Berhad (KSB) di mana beliau mempunyai kepentingan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di bilik mesyuarat Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, Sepang, pada 16 Jun 1997.

Pada masa kejadian, Mohd Shariff serta isterinya Datin Patimah Isa dan dua anaknya, Shahrum dan Shahrin, memiliki sejumlah 1.36 peratus saham dalam KSB.

Mohd Shariff dilantik sebagai anggota exco kerajaan Selangor pada 1997 dan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Penerangan dan Tanah Rizab Melayu.

- Bernama-

Tiada ulasan: