Masyarakat perniagaan hari ini diberi ingatan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak supaya tidak mempertaruhkan masa depan mereka dengan menyokong pembangkang.
Meskipun Najib tidak menyebut pihak yang dimaksudkannya itu tetapi kenyataan secara tidak langsung membawa pengertian supaya sokongan tidak diberikan kepada Pakatan Rakyat.
"Saya kongsi bersama impian dan aspirasi (untuk membina negara ini bersama). Apa yang ingin saya capai adalah sesuatu yang besar, jadi saya mohon anda untuk bersama saya menjayakannya.
"Perjalanan ini mungkin lama tetapi mari kita bersama mengharunginya. Ini bukan masa membuat percubaan dan mempertaruhkan masa depan anda. Saya pasti anda faham apa yang saya maksudkan... masyarakat perniagaan sentiasa pragmatik dan panjang akal,” katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap di majlis rumah terbuka tahun baru Cina dan Taklimat Akta Agensi Inovasi Malaysia anjuran Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (SMI) Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Way di Petaling Jaya.
Kejayaan besar
"Kami (BN) berazam mencapai kejayaan lebih besar pada masa depan,” katanya.
Pada ucapannya itu, beliau juga mengessa komuniti pengusaha enterpris kecil dan sederhana (EKS) supaya menyertakan penggunaan teknologi sebagai salah satu daripada komponen penting dalam strategi perniagaan masing-masing.
Ini kerana katanya, komuniti SMI negara ketika ini tidak begitu memberi perhatian kepada penggunaan teknologi dalam perniagaan pada peringkat yang sepatutnya.
''Jika perkara ini tidak diberi perhatian, kita berdepan dengan risiko untuk ketinggalan jauh di belakang,'' katanya.
Najib berkata teknologi adalah satu platform yang "akan membolehkan anda melihat lebih jauh berbanding menggunakan mata kasar."
Di dalam dunia perniagaan, EKS perlu menyuntik teknologi di dalam produk dan perkhidmatan masing-masing, katanya.
Inovasi berasaskan teknologi adalah satu cara mendapatkan kelebihan kompetitif yang mampan, kata Najib, yang juga menteri kewangan.
"Kita perlu membezakan diri kita dengan menerima pakai teknologi dan dengan berbuat demikian, kita perlu memenuhi keperluan para pelanggan. Ini akan memberikan kita kelebihan bersaing dengan negara pengeluar berkos rendah yang merebut perniagaan anda," katanya.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan