"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

21 Pelajar Ponteng Ditahan Dalam Rumah Teres

KANGAR, 10 FEB: Dua puluh satu pelajar termasuk dua pelajar perempuan berusia 14 yang dipercayai ponteng sekolah ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di sebuah taman perumahan dekat sini semalam.

Mereka yang ditahan itu terdiri daripada 17 pelajar sebuah sekolah menengah dan empat penuntut kolej berhampiran kawasan itu. Serbuan pada pukul 12 tengah hari itu membabitkan lima anggota polis, pengetua dan dua guru disiplin sekolah berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar DSP Ismail Che Isa berkata ketika serbuan dibuat, kesemua pelajar itu sedang melepak dan ada yang menghisap rokok dalam rumah berkenaan yang berkunci dari dalam.

"Polis menunggu hampir lima minit untuk mereka membuka pintu dan ada di kalangan mereka berpakaian sekolah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, di sini, hari ini.

Beliau berkata rumah itu disewa oleh seorang daripada penuntut kolej dan premis itu sering dijadikan sebagai 'port' untuk mereka yang ponteng sekolah.

Kesemua 21 pelajar yang ditahan itu berusia 14 hingga 20 tahun dan mereka akan menjalani ujian saringan air kencing dan proses dokumentasi, katanya.

Ismail berkata pihak sekolah akan memanggil ibu bapa pelajar terbabit untuk diberi kaunseling.

Beliau berkata serbuan terhadap rumah teres itu dibuat berikutan aduan penduduk di taman perumahan itu yang mendakwa pelajar terbabit sering membuat bising di rumah berkenaan.
-Bernama-

Tiada ulasan: