"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hari Kekasih: Umno BN pasung minda rakyat

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 11 Feb: Hari Kekasih atau nama sambutan yang lebih dikenali sebagai Valentine’s Day sekali lagi mendapat perhatian semua pihak terutama kepada pendirian Pakatan Rakyat.

“Hari Kekasih ini menjadi perhatian kerana melibatkan isu pengawasan moral atau moral policing,” kata Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin.

AMK, katanya melihat wujud unsur-unsur hipokrasi yang jelas dan nyata di peringkat Umno BN khususnya dalam soal itu, yang jelas kelihatan mahu memerangkap dan memasung minda rakyat agar lari daripada fokus sebenar yang sewajarnya diberikan secara tepat mengenai isu ini.

Menurutnya, AMK berpendapat terdapat dua hal yang harus diberi perhatian iaitu perbincangan dan musyawarah di kalangan Pemuda Pakatan iaitu Dewan Pemuda PAS, Pemuda Sosialis DAP dan AMK perlu diadakan.

Ini, katanya bagi mendapat persefahaman dan dasar pendirian yang boleh dikongsi secara bersama tanpa menafikan beberapa hal berbeza dari segi pendekatan.

“Dalam hal ini pihak AMK yakin bahawa permuafakatan Pakatan Rakyat membincangkan hal-hal termasuk isu sensitif membuktikan kesediaan Pakatan Rakyat menerima perbezaan dan memberikan dasar yang terbaik kepada rakyat,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Selain itu, ujarnya AMK percaya bahawa pendekatan dakwah secara mendidik adalah merupakan penyelesaian manusiawi yang lebih mampan dan jangka masa panjang.

Tambahnya, pendekatan mendidik yang dibawa Pakatan Rakyat akan membetulkan imej negatif yang dicanang oleh Umno BN.

Menurutnya, menjangkau 54 tahun Malaysia di bawah kepimpinan Umno, Islam dilihat rigid dan sentiasa dalam keadaan terancam, dan dalam masa yang sama dimensi penyelesaian hanya dihadkan kepada kepompong yang sempit.

“Menyedari hakikat inilah, pendekatan yang lebih hikmah sewajarnya diambil oleh Pemuda Pakatan demi memastikan penyelesaian yang konstruktif dapat diambil ke arah mencari jalan penyelesaian yang wajar,” katanya lagi.

Tiada ulasan: