"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Fitnah II: Keputusan bela diri hari ini


KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetahui samada beliau perlu membela diri dalam kes konspirasi Fitnah II terhadapnya hari ini.
Keputusan itu akan disampaikan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md Diah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.
Peguam Anwar, Sankara Nair dilapor berkata beliau percaya Anwar tidak bersalah dan kes itu perlu digugurkan dari awal lagi.
“Jelas (pendakwa raya) tiada kes sejak dari awal lagi,” kata Sankara.

Anwar sendiri dari mula menegaskan beliau adalah mangsa konspirasi politik tertinggi melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menghalangnya daripada terus memimpin Pakatan Rakyat.

Malahan, pelbagai usaha berterusan dilakukan untuk menghalang Anwar termasuk yang terbaru, ancaman bunuh terhadap cucu Anwar.
Ia dilakukan menerusi panggilan dan khidmat pesanan ringkas kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar memintanya memujuk Anwar berhenti daripada politik sekiranya mahukan anak beliau selamat.
Satu lagi fitnah adalah video seks yang cuba mengaitkan Anwar sebagai pelakon utama di dalam video itu. Video itu ditayangkan trio ‘Datuk T’ terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang pernah dituduh merogol budak bawah umur, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay dan bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim.
Anwar dan keluarganya sudah menafikan beliau pelakon video itu. Malahan, laporan polis sudah dibuat terhadap trio ‘Datuk T’ kerana menayangkan video lucah di tempat awam. Namun, sehingga kini pihak polis masih belum menangkap trio ‘Datuk T’.
Dalam rentetan perbicaraan sebelum ini, ketua pasukan peguam bela Anwar, Karpal Singh menggesa Hakim Zabidin menolak keterangan saksi utama, Saiful Bukhari kerana terdapat banyak percanggahan dalam keterangannya.
Menurut Karpal, terdapat banyak percanggahan sama ada pertuduhan yang dikenakan adalah liwat dengan kerelaan atau pun tanpa kerelaan.
Menurutnya, jika benar tuduhan yang dikenakan berlaku, Saiful sepatutnya sudah banyak kali boleh melarikan diri tetapi dia tidak berbuat demikian.
Malahan, Saiful mengaku kononnya dia pernah duduk selama 20 minit untuk minum kopi dan makan karipap selepas kejadian liwat didakwa berlaku.
Selain daripada itu, Karpal dalam hujahnya balas kepada pendakwa raya turut membangkitkan persoalan terhadap perkara yang berlaku pada 27 Jun 2008, sehari selepas kejadian liwat kononnya didakwa berlaku.
Menurut Karpal ia penting kerana Saiful, yang mendakwa dirinya mangsa liwat tetap ke ibu pejabat KEADILAN dan ke rumah Anwar sehari selepas tarikh kejadian didakwa berlaku. Beliau kemudiannya menemui Mumtaz Jaafar dan Ezam Md Noor pada hari yang sama, kata Karpal.
“Mumtaz dan Ezam tidak dipanggil pendakwa sebagai saksi. Malahan Saiful dalam keterangannya mendakwa Mumtaz menasihati beliau agar tidak membuat laporan. Apakah yang membuatkan dia (Saiful) mengubah fikirannya?” tanya Karpal menegaskan perkara itu tidak pernah dijelaskan pendakwa raya.
Karpal seterusnya berhujah kegagalan pendakwa memanggil doktor dari Hospital Pusrawi, Dr Mohd Osman Abdul Hamid juga penting kerana dalam laporannya Dr Mohd Osman melaporkan Saiful pernah memasukkan objek plastik ke dalam duburnya sendiri.
Anak Karpal, Ram Karpal yang juga merupakan peguam Anwar dalam hujahnya sebelum ini berkata dua pakar kimia iaitu Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon adalah saksi yang tidak boleh dipercayai kerana keterangan mereka yang tidak konsisten.
“Fungsi seorang saksi pakar adalah memberikan keterangan yang jujur,” kata Ram Karpal.
Dr Seah sendiri mengakui kehadiran DNA lebih daripada seorang lelaki dalam dubur Saiful.
Seorang lagi peguam Anwar, Sankara Nair berhujah bahawa sampel DNA hanya diberikan kepada ahli kimia oleh pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira 97 jam, atau pun empat hari selepas tarikh kejadian kononnya berlaku.
Perkara ini, menurut Sankara, menyebabkan sampel DNA tersebut rosak.
Beliau turut membangkitkan kemungkinan sampel itu diubahsuai polis kerana Jude Pereira pernah membuka paket plastik mengandungi spesimen putik kapas sampel yang diberikan kepadanya oleh doktor Hospital Kuala Lumpur dan kemudiannya dibungkus semula oleh beliau.

Sankara menyifatkan Jude sebagai saksi yang paling tidak boleh dipercayai kerana bukan sahaja gagal untuk mengikut cadangan doktor tetapi juga melanggar Perintah Am Ketua Polis Negara (IGSO) apabila membungkus semula paket yang mengandungi putik kapas sampel DNA.
Kini, pasukan peguam Anwar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan sudah melancarkan gerak kerja sekiranya Anwar diperintah membela diri, kata Karpal Singh seperti dilapor Bernama semalam.

Tiada ulasan: