"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bantah Lynas dari KLCC ke Kedutaan Australia petang ini


KUALA LUMPUR: Satu perhimpunan bagi membantah projek Nadir Bumi oleh Lynas di Gebeng Kuantan akan diadakan di KLCC selepas solat Jumaat, jam 2 petang ini.
Peserta dijadual berkumpul di KLCC sebelum berarak ke Pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Pesuruhjaya Tinggi negara itu.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, demonstrasi anjuran People’s Green Coalition itu turut dipimpin oleh Kumpulan menentang projek berkenaan, Save Malaysia, Stop Lynas.
“Perarakan ini anjuran People’s Green Coalition yang terdiri daripada semua NGO yang memperjuangkan bumi Malaysia yang selamat dari segala macam pencemaran. Ia disertai semua organisasi dan individu yang mahu alam yang lebih baik dan selamat untuk diduduki,”
“Ia termasuk parti politik, mahasiswa, dan pertubuhan-pertubuhan lain ,” kata Fuziah ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Ditanya mengapa lokasi KLCC dipilih, Fuziah berkata ia berdekatan dengan Pejabat Suruhanjaya Australia di Jalan Yap Kwan Seng.
“Ia paling dekat dengan kedutaan Australia dengan masjid KLCC. Tapi tidak bermaksud mereka tidak boleh melakukan bantahan di tempat lain atau terus datang ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia,” ujarnya.
Berhubung polis pula, Fuziah berkata penganjur telah memberitahu pihak polis bahawa mereka menjangkakan pihak berkuasa itu akan memberikan kerjasama untuk menjaga keselamatan awam dan aliran trafik ketika perarakan diadakan.
“Polis memelihara orang ramai dari ancaman yang menggugat keselamatan awam, dan dalam kes ini Lynas yang menggugat ketenteraman awam,” kata Fuziah.
Fuziah dalam masa yang sama turut ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob baru-baru ini, bahawa projek itu cuba dipolitikkan pembangkang.
“Sebelum ini memang kita lihat saya mulakan kempen ini tetapi apabila sokongan rakyat mula meningkat BN merasa tergugat kerana ia dipimpin oleh Ahliparlimen pembangkang.
“Mereka tidak boleh faham, kami mewakili rakyat dan memperjuangkan keselamatan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: