"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lindungi Utusan, kerajaan tak beretika- Penasihat Editorial Karangkraf


KUALA LUMPUR: Kegagalan kerajaan mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia yang menyiarkan berita menyentuh sensitiviti agama dan kaum, menunjukkan bahawa kerajaan sendiri tidak beretika dalam melaksanakan undang-undang sedia ada.
Penasihat Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Abdul Jalil Ali berkata demikian dalam forum bertajuk ‘Ke arah media yang lebih beretika’ anjuran Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), di Auditorium Majlis Peguam, semalam.
“Tidak ada ketegasan dalam menguatkuasakan undang-undang, saya ambil contoh baru-baru ini Utusan menyiarkan berita mengenai sensitiviti agama. Tapi sampai ke hari ini tiada ada apa-apa tindakan diambil ke atas akhbar dan blogger tersebut.
“Etika telah dilanggar, adakah kerana surat khabar Umno, maka ia akan dibiarkan? Kita tidak tahu sama ada blogger ada autoriti atau kredibiliti sehingga akhbar itu memuatkan berita tersebut di muka hadapan. Kerajaan juga tidak beretika dalam isu ini,” ujarnya yang pernah menyertai Utusan Melayu sejak 1974.
Antara panel yang turut diundang mengupas tajuk forum tersebut ialah pensyarah kewartawanan, Sharaad Kutan dan felo Asian Public Intellectual, Wong Chin Huat.
Menurut Abdul Jalil, etika kewartawanan yang rosak berpunca daripada sikap berat sebelah kerajaan sendiri yang terlalu berlembut dengan media yang dikuasai mereka.
“Kerajaan tidak akan mengenakan undang-undang kalau yang hendak dikenakan undang-undang itu melibatkan orang dia sendiri, tapi jika akhbar lain yang buat mengenai berita itu, saya pasti akhbar itu akan diharamkan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, beliau percaya, ketua-ketua editor media arus perdana lain akan dipanggil dalam beberapa hari lagi untuk menjelaskan mengenai kedudukan berita yang dilaporkan Utusan.
“Kerajaan perlu ada komitmen yang tinggi menegakkan undang-undang. Selagi kerajaan bermain dengan undang-undang, kita tidak akan jadi apa-apa,” kata beliau
Sementara itu, beliau menegaskan sesetengah isu sensitif yang terlalu banyak dimainkan media sejak kebelakangan ini berpunca daripada ahli politik yang tidak bertanggungjawab.
“Contohnya isu interlok adalah isu biasa yang tidak patut dijadikan isu perkauman yang begitu hebat kerana ia sama seperti karya-karya sastera yang lain.
“Saya bagi contoh, sekiranya ada karya sastera yang menggunakan istilah Pak Pandir yang membodohkan orang Melayu, saya tidak akan mengambil tindakan seperti yang dilakukan sesetengah pihak berkenaan novel Interlok tempoh hari.
“Kerana ada dua tiga orang politik yang sengaja memainkan isu ini, orang politik itu yang sepatutnya dihukum,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: