"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakatan yakin tawan semula Perak

Harakahdaily
PARIT BUNTAR, 20 Mei: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat (PR) Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar) berkata, Perak bakal diterajui PR semula pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 kerana sokongan rakyat semakin meningkat dan akan menafikan BN yang merampas kuasa sebelum ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas peluang Pakatan Rakyat untuk kembali berkuasa di negeri ini.

Katanya, Umno BN Perak seharusnya cermin diri dahulu sebelum berkata PR wujud masalah dalaman.

Hakikatnya, kata beliau kemelut dalaman BN telah menjadikan parti itu lesu dan gagal mengurus tadbir negeri dengan baik dan mereka bercakaran sesama sendiri menyebabkan rakyat semakin terabai.

Tambahnya, pendedahan Ketua Pembangkang Dun Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin bahawa terdapat Adun BN yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri yang disoal siasat SPRM selama lima jam baru-baru ini berikutan kes rasuah, sehingga kini gagal dijawab oleh Menteri Besar, Datuk Dr Zambry termasuk ketika ditanya dalam sidang Dun lepas.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS negeri berkata, PR Perak amat komited dengan misi kebajikan kepada rakyat, walaupun cuma sempat memerintah selama 11 bulan, banyak isu dan perkara berjaya diselesaikan dengan baik.

Beliau juga mendedahkan kerajaan BN Perak telah menciplak dasar-dasar kebajikan Pakatan Rakyat dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang.

"Antaranya dasar pemberian tanah kepada Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah SUWA, pemberian sagu hati kepada anak-anak Perak yang berjaya ke IPTA, dasar tanah, meneruskan penubuhan jawatan kuasa hal ehwal bukan Islam dan banyak lagi," ujarnya.

Khalil yang juga Adun Titi Serong mendakwa kekayaan negeri diagihkan kepada kaum keluarga terdekat dengan sewenang-wenangnya.

“Oleh kerana terlalu sibuk mengagihkan kekayaan negeri kepada keluarga sehingga telah menyebabkan nasib rakyat terabai, kini janji membela rakyat cuma tinggal janji sahaja,” katanya lagi.

Menurutnya, legasi Pakatan Rakyat telah menghasilkan kesan positif di hati rakyat dan yang pastinya rakyat negeri Perak merindukan perkara tersebut dan akan meneruskan sokongan seperti mana pada Mac 2008 lalu.

Tambahnya, BN tetap akan ditolak walaupun mereka menaburkan janji politik yang merupakan pemanis mulut untuk kekal berkuasa sedangkan merekalah pengkhianat sebenar kepada rakyat Perak dan Malaysia selepas lebih 50 tahun memerintah.

“PR Perak komited menjalankan sesi penerangan ke seluruh negeri, pemimpin Pakatan Rakyat Perak di semua peringkat telah bekerja keras untuk memastikan maklumat tentang kerja jahat Umno BN sampai ke pengetahuan rakyat.

"Kita juga menyampaikan maklumat mengenai prestasi baik yang dicapai oleh negeri di bawah Pakatan Rakyat yang telah dinafikan pemberitaannya oleh media massa yang dikawal ketat oleh BN," katanya.

Tambahan pula, katanya dengan ledakan maklumat melalui internet, blog, facebook, twitter dan sebagainya akan memudahkan maklumat diterima rakyat dan cetusan gelombang maklumat ini akan mempercepatkan kejatuhan BN di Perak.

“Rakyat semua bangsa dan agama perlu berganding tenaga bagi menjatuhkan BN pada PRU 13 nanti, jangan biarkan BN terus menipu dan perompak hak rakyat negeri Perak," katanya.

Tiada ulasan: