"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengarah, Pengilang Didakwa Jual Kopi DNA Babi

KUALA LUMPUR 20 MEI : Tiga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret Kluang, Johor atas dua tuduhan menjual kopi mengandungi DNA babi di kafe Kluang Rail Coffee tanpa meletakkan pernyataan kewujudannya pada label pembungkusan kopi itu.

Ketiga-tiga pengarah Rail Passion Sdn Bhd iaitu Lim Jit Chiang, 37, dan abangnya, Lim Jit Tong, 42, serta sepupu mereka, Lim Jit Chen, 58, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Syarikat pengilang Cheng Hiong Coffee Powder Trading pula menghadapi tuduhan menyedia dan membungkus kopi campuran dalam bungkusan yang belum dibuka dan tidak berlabel untuk jualan kepada Rail Passion.

Laporan Utusan Malaysia hari ini menyebut Jit Chiang, Jit Tong dan Jit Chen didakwa menjual serbuk kopi dalam bungkusan yang mengandungi DNA babi antara pukul 3 petang hingga 4 petang di premis tersebut di Jalan Tasik, Kluang 25 Mac lalu.

Mereka didakwa menjual serbuk kopi dalam bungkusan belum dibuka kepada pegawai Jabatan Kesihatan, Amezatul Aida Mohd. Daim bagi tujuan analisis dan keputusan ujian Jabatan Kimia, Petaling Jaya menunjukkan terdapat DNA babi dalam kopi itu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menjual 20 peket kopi uncang dalam bungkusan belum dibuka yang mengandungi DNA babi kepada Amezatul Aida bagi tujuan serupa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Keputusan analisis di Jabatan Kimia turut mendapati wujud DNA babi dalam kopi uncang tersebut.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Peraturan 11(1)(c) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana menjual makanan tanpa suatu pernyataan tentang adanya DNA babi pada label bungkusan makanan berkenaan.

Setiap pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, syarikat pengilang Cheng Hiong Coffee Powder Trading didakwa atas pertuduhan menyedia dan membungkuskan kopi campuran dalam bungkusan yang belum dibuka dan tidak berlabel itu untuk jualan kepada Rail Passion.

Laporan media itu menambah syarikat tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di Kilang Cheng Hiong Coffee Powder Trading di Jalan Mersing, Kluang antara pukul 10.40 pagi hingga 2 petang, 25 Mac lalu.

Dua rakan kongsi syarikat pengilang tersebut, Wong Siew Boey, 52, dan Ong Cheng Ming, 44, mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang sama dikenakan ke atas ketiga-tiga pengarah Rail Passion.

Majistret Norhabsarina Ayob menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula ketiga-tiga kes berkenaan.
-tvsnews-

Tiada ulasan: