KUALA LUMPUR, 18 MEI: Kira-kira 400,000 guru kelas biasa kecewa dengan pengumuman kerajaan pada Hari Guru baru-baru ini yang hanya membawa berita gembira kepada 2,000 guru besar dan guru penolong kanan yang akan menikmati kenaikan gaji mulai awal tahun depan.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Lok Yim Pheng berharap kerajaan akan menangani rintihan dan masalah serta memberikan mereka lebih banyak peluang kenaikan pangkat.
"Ironinya di sebalik membawa kegembiraan, pengumuman itu menimbulkan kebimbangan dan rasa sedih di kalangan guru kerana sejumlah besar daripada mereka seperti diketepikan," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Lok juga meminta guru-guru yang dipinggirkan ini tetapi menjadi "teras" pendidik peringkat akar umbi supaya bertenang dan meneruskan tugas-tugas murni mereka seperti biasa serta menyerahkan kepada kesatuan soal mengenai perjuangan menjaga kebajikan mereka.
Beliau berkata, pihak kesatuan yang mewakili 140,000 guru di seluruh negara akan berusaha untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secepat mungkin untuk memaklumkan sendiri mengenai rintihan dan masalah yang dihadapi oleh guru kelas biasa.
Menurutnya, pihak kesatuan tidak akan menghampakan guru-guru ini kerana mereka merupakan "tonggak" pendidikan, di mana semua sekolah bergantung kepada kejayaan meraka melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
"Tanpa dedikasi guru-guru kelas ini, kalangan guru besar dan pengetua sahaja tidak akan dapat mengendalikan sekolah," katanya.
Sementara itu, tinjauan rambang Bernama mengesahkan kenyataan kesatuan itu bahawa ramai guru pada dasarnya tidak berpuas hati dengan pengumuman kerajaan yang memberikan kelebihan hanya buat ketua-ketua sekolah.
Seorang guru yang dikenali sebagai Chandran, 45, yang berpengalaman 18 tahun mengajar berkata, beliau amat sayangkan karier sebagai seorang guru dan amat sayangkan muridnya, namun beliau merasa kecewa kerana merasakan dedikasinya selama ini seperti tidak dipandang.
"Saya biasanya pulang ke rumah sejam atau dua jam lebih lewat kerana saya lanjutkan masa mengajar di sekolah, khusus buat pelajar yang lemah, malah saya ambil inisiatif himpunkan mereka pada hujung minggu untuk membantu mereka dalam pelajaran, namun ini nampaknya tidak dihargai oleh pihak sekolah," katanya.
Seorang lagi guru yang hanya mahu dikenali sebagai Miss Tan berkata, beliau sedih dengan pengumuman itu, kerana beliau mahupun rakan-rakan sejawatannya tidak memperolehi apa-apa manfaat daripadanya.
"Kami bekerja keras, tapi dedikasi kami seperti tidak dihargai," katanya.
-tvsnews-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan