"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS dakwa Umno kuasai program LL4G

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 19 Jun: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mendakwa program Majlis Pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia cuba dimonopoli oleh Umno BN termasuk NGO milik mereka, Aman Malaysia.

Beliau berkata, perkara ini jelas terbukti apabila nama beliau digugurkan sebagai salah seorang pemidato di saat-saat akhir sedangkan pada awalnya beliau sudah diingatkan agar bercakap soal Palestin tanpa menyentuh isu politik.

"Saya telah mendapat restu daripada PAS untuk hadir program malam tadi kerana program isu Gaza ini isu bersama.

"Saya mestilah sangat gembira dapat duduk satu pentas dengan Perdana Menteri.

"Tapi apabila nama saya digugurkan daripada berucap, saya rasa kesallah sedangkan mereka kata isu ini isu bersama," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan sebab ketidakhadiran beliau ke program yang diadakan di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Bagaimanapun, seorang lagi pemidato Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hadir walaupun slot pidato dibatalkan.

"Ini bukan soal kecewa tidak dapat berucap tapi saya tak pergi langsung malam tadi sebab nampak Umno macam nak ambil alih program tersebut," katanya.

Mohamad pada mulanya diminta menyampaikan pidato menyentuh isu Palestin selama 20 minit yang kemudiaanya dipendekkan kepada 10 minit dan akhirnya dimaklumkan pembatalan slot pidato jam 10 pagi semalam.

Khalid fikir dua kali

Misi kemanusiaan International Freedom Flotilla ll ke Gaza akan berlepas ke sana pada 26 Jun ini dan PAS akan diwakili oleh ahli jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad.

Khalid bagaimanapun ketika dihubungi sebentar tadi memberitahu beliau sedang mempertimbang samaada akan turut serta atau tidak.

Ini kerana beliau turut sependapat dengan Mohamad bahawa Umno BN ingin menjadikan misi tersebut program mereka sendiri.

"Saya pun sedang fikir balik samaada nak pergi atau tidak labih-lebih lagi bila diberitahu Mat Sabu tidak diberi peluang berucap malam tadi dan nampak Umno BN nak guna program ni untuk naikkan nama mereka," katanya yang juga ahli Parlimen Shah Alam.

Beliau turut mengingatkan Umno BN agar jangan mengambil kesempatan di atas penderitaan umat Islam untuk mengharumakan nama parti.

"Bagi saya Umno BN nak ambil kesempatan untuk naikkan nama mereka di atas penderitaan umat Islam.Ini tidak bagus untuk keamanan sejagat," katanya.

Tiada ulasan: