"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibu warga Indonesia gagal dapat deklarasi isytihar anak warganegara

V Anbalagan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak saman difailkan seorang wanita Indonesia untuk deklarasi bahawa anak lelakinya yang berusia 13 tahun adalah rakyat Malaysia.

Hakim Amarjeet Singh yang menyampaikan penghakiman itu menerusi e-mel kepada pihak terlibat, tidak memberi sebarang alasan penghakiman. Beliau juga tidak membuat perintah kos bagi kes itu.

Peguam A Srimurugan yang mewakili wanita berkenaan berkata, beliau telah diarahkan memfailkan rayuan.

Dalam saman pemula difailkan Januari lalu, wanita berkenaan memohon mahkamah mengarahkan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya mengeluarkan kad pengenalan untuk anak lelakinya selepas mencapai usia 12 tahun.

Beliau juga memohon perintah mengarahkan JPN memulangkan sijil kelahiran anaknya itu yang kini dalam pegangan jabatan berkenaan.

Wanita itu, yang suaminya rakyat Malaysia, turut menamakan kerajaan persekutuan sebagai defendan.

Dalam afidavit sokongannya, wanita itu berkata beliau mengahwini suaminya pada 2000 dan mereka mempunyai dua anak.

Anak kedua mereka dilahirkan pada 13 Januari 2010. Sijil kelahiran dikeluarkan untuk kedua-dua anaknya itu kerana bapa mereka rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, JPN tahun lalu menolak permohonan suaminya untuk kad pengenalan bagi anak kedua mereka, malah merampas sijil kelahirannya.

Wanita itu berkata beliau bimbang anak lelakinya itu akan dinafikan pendidikan percuma, akses kepada kemudahan kesihatan percuma, dan pasport Malaysia untuk ke luar negara sekiranya tidak mempunyai kad pengenalan.

Beliau turut mengesahkan anaknya itu bukan rakyat mana-mana negara lain, dan tidak memohon kerakyatan di negara lain.

Dalam afidavit jawapannya, bekas Ketua Pengarah JPN Ruslin Jusoh berkata ibu bapa berkenaan telah diarahkan menjalani ujian DNA untuk membuktikan paterniti kanak-kanak berkenaan, namun mereka enggan.

Ruslin berkata, pasangan itu membawa kanak-kanak berkenaan ke cawangan JPN di Jalan Duta di sini, tahun lalu, dan pegawai di situ mendapati warna kulit serta ciri-ciri wajahnya tidak menunjukkan persamaan dengan mereka.

Menurutnya, tiga bulan kemudian, bahagian siasatan dan penguatkuasaan JPN merekodkan kenyataan daripada pasangan itu, dan menasihatkan mereka melakukan ujian DNA namun ditolak pasangan berkenaan.

Dalam prosiding pada 6 Ogos lalu, Srimurugan berhujah JPN tiada kuasa untuk memerintahkan ujian DNA di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 atau Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Peguam Kanan Persekutuan Nur Idayu Amir bagaimanapun berhujah, ujian DNA perlu untuk menentukan paterniti.

Tiada ulasan: