"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Barang order RUU 355, barang sampai PAS 353

HarapanDaily.com
Nombor plat ‘unik’ kereta baharu Speaker DUN Kelantan terus jadi bualan
Nombor plat ‘unik’ kereta baharu Speaker DUN Kelantan terus jadi bualan

Kereta baharu Toyota Alphard SC milik Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilihat terus menjadi bualan dan bahan sindiran warganet.

Nombor plat PAS353 itu mengingatkan orang ramai kepada angka ‘355’ iaitu Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai RUU 355.

Susulan itu, tersebar di media sosial ‘meme’ iaitu imej sarkastik yang membandingkan antara ‘barang order‘ dan ‘barang sampai’.

Imej pada ‘barang order‘ menunjukkan paparan kereta mampu milik dengan cermin belakang tertera pelekat sokongan kepada RUU355 yang lazimnya hanya dilakukan oleh pentaasub Pas.

Di sebelahnya pula ‘barang sampai’ yang merupakan gambar asal yang sebelum ini dikongsikan ejen Edaran Tanamera (ETM), Shahir Abd Ghani di Facebook.

Jelas kelihatan Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas tersenyum gembira memegang replika kunci kenderaan kelas ‘kayangan’ itu.

“Alhamdulillah, syukur selesai deliver kepada Dato’ Sri Amar Diraja Dato’ Nik Amar, Toyota Alphard SC. Terima kasih memilih ETM exclusive cars,” tulis Shahir.

Mohd Amar pada 2020 antara lain menyebut “takkan nak pakai Viva,” ketika menjawab kritikan orang ramai terhadap tindakan kerajaan negeri Kelantan membeli 14 kereta Mercedes Benz untuk kegunaan menteri besar, timbalan menteri besar, barisan exco negeri dan setiausaha kerajaan negeri.

Untuk rekod, Akta 355 sepatutnya dibentangkan untuk pindaan pada persidangan Dewan Rakyat pada akhir Oktober 2022 tetapi terbantut susulan pembubaran Parlimen.

Draf pindaan kepada akta berkenaan yang dirujuk sebagai RUU 355 bagaimanapun sudah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara pada 7 Oktober 2022.

Penggubalan semula Akta 355 hasil Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil Ke-27 pada 2021 bakal menyeragamkan kuasa mahkamah syariah di Malaysia.

Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa usahanya merealisasikan pindaan RUU 355 mendapat tentangan daripada sebahagian UMNO dan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Marang itu berkata, cadangan Pas adalah bagi meminda hukuman sebatan kepada hukum Islam yang mendidik, bukan sebatan menyeksa mengikut undang-undang Barat.

Banyak pihak melihat Pas memperalat RUU 355 dan ‘tunggangan’ menjelang musim pilihan raya memandangkan Hadi membentangkan RUU 355 buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 sebagai RUU persendirian.

Namun, perbahasan mengenainya ditangguhkan dan versi yang disemak semula dibentangkan pada November 2016 dan April 2017.

RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa penghukuman mahkamah syariah bagi kesalahan jenayah syariah, namun ia hanya di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan.

Tiada ulasan: