"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyertaan PAS hapus pengaruh Umno dalam kerajaan perpaduan, kata penganalisis

Amirul Aiman dan Lynelle Tham

PETALING JAYA: Kemungkinan PAS menyertai kerajaan perpaduan boleh menghapuskan pengaruh Umno dalam pentadbiran, kata seorang penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, sokongan kuat Melayu terhadap parti Islam itu mungkin sesuatu yang patut dibimbangi Umno.

“Membawa PAS masuk ke kerajaan perpaduan (mungkin menyebabkan) Umno rasa diketepikan, kerana PAS terlalu dominan dalam meraih sokongan Melayu,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, pilihan raya negeri dan dua pilihan raya kecil di Johor dan Pahang baru-baru ini menunjukkan tahap sokongan yang semakin meningkat terhadap PAS dalam kalangan Melayu.

“Begitu juga MIC atau MCA tidak suka kekal dalam Barisan Nasional kerana telah diketepikan atau nampak tidak penting, memandangkan DAP begitu dominan dalam kerajaan,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga mesti belajar cara menangani hubungan antara DAP dan PAS.

“Keadaan lebih kurang seperti utara dan selatan, masing-masing jauh berbeza dari segi ideologi dan prinsip politik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti sama ada PAS sanggup berpisah daripada Perikatan Nasional kerana gabungan itu masih percaya lambat-laun ia mampu membentuk kerajaan persekutuan.

Katanya, PAS mungkin mempertimbangkan menyertai kerajaan perpaduan jika parti itu menerima ia tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada undi Melayu untuk membentuk kerajaan persekutuan.

“Saya percaya harinya akan tiba apabila PAS menyedari ia tidak boleh bergantung 100% kepada pengundi Melayu untuk membentuk kerajaan persekutuan,” katanya.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, penyertaan PAS dapat menyumbang kepada kestabilan negara dan memberikan Anwar sokongan kuat di Dewan Rakyat, seterusnya membolehkannya melaksanakan pelbagai reformasi dan inisiatif.

“Sudah pasti, kelebihan bagi Anwar dan kerajaannya jika PAS menyertai kerajaan perpaduan, adalah Anwar akan memiliki paling banyak sokongan di Dewan Rakyat.

Dalam wawancara dengan TIME Magazine baru-baru ini, Anwar mengesahkan tawaran telah dibuat kepada PAS untuk menyertai pentadbirannya.

Ditanya maklum balas diterima daripada parti itu, perdana menteri berkata PAS tidak memberikan jawapan positif mahupun menolaknya secara jelas.

Beliau membayangkan pintu masih terbuka untuk PAS menyertai pentadbirannya, bergantung kepada penerimaan beberapa syarat berkaitan dasar utama.

Tiada ulasan: