"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin: Henti kaitkan MYAirline dengan saya

Malaysiakini

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat penerbangan MYAirline yang operasinya kini digantung.

“Saya dapati ada pihak yang cuba mengaitkan saya dengan kemelut yang melibatkan syarikat penerbangan MYAirlines.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tiada kaitan langsung dengan syarikat penerbangan ini atau mana-mana pemegang saham syarikat. Saya juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai latar belakang syarikat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, syarikat penerbangan tambang murah itu mendapat kelulusan bersyarat lesen perkhidmatan udara pada 22 Disember 2021 iaitu semasa dirinya tidak lagi menjadi perdana menteri.

“Penglibatan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) sebagai peguam bagi pihak pemegang saham syarikat MYAirlines tidak boleh dikaitkan dengan saya.

“RDS sebagai sebuah firma guaman berhak untuk mewakili sesiapa sahaja yang memerlukan khidmat guamannya.
Rosli Dahlan
“Saya percaya ada pihak-pihak tertentu yang cuba mencemarkan nama baik saya dengan membuat tuduhan jahat kononnya saya terbabit dengan syarikat ini. Hentikanlah politik murahan yang kotor ini,” katanya.

MYAirline mencuri tumpuan apabila pada 12 Okt lalu, ia mengumumkan penggantungan operasinya berikutan tekanan kewangan yang ketara.

Pada 16 Okt lalu, ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa kerajaan melancarkan siasatan jenayah terhadap pemegang saham MYAirline dan pegawai kerajaan yang meluluskan lesen perkhidmatan udara syarikat penerbangan itu.

Katanya, mereka yang bertanggungjawab terhadap operasi syarikat itu juga harus dihalang daripada meninggalkan negara manakala aset mereka dibekukan oleh kerajaan sementara menunggu siasatan.

Semalam, Bernama melaporkan polis menahan seorang pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bergelar ‘Datuk’ serta isteri dan anak lelakinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Tiada ulasan: