"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kejadian mistik Gandhi kerja pembinaan jambatan Marang?

Zaid Salim
am@hmetro.com.my
KERJA pembersihan kawasan balai polis lama Marang sudah boleh dilakukan selepas tergendala kerana gangguan entiti mistik. FOTO Zaid Salim
KERJA pembersihan kawasan balai polis lama Marang sudah boleh dilakukan selepas tergendala kerana gangguan entiti mistik. FOTO Zaid Salim
Marang: Pembinaan jambatan Marang yang tergendala susulan beberapa kejadian mistik kini kembali berjalan seperti biasa selepas tidak ada lagi gangguan atau halangan yang merencatkan kelancaran projek berkenaan.

Sebelum ini, pelbagai kejadian mistik dikatakan berlaku di tapak bekas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang berhampiran Sungai Marang yang dikatakan 'berpenunggu' sehingga menyebabkan perjalanan projek jambatan baru Sungai Marang sepanjang 2.5 kilometer yang dijangka siap pada Jun 2025 itu terganggu apabila kerja-kerja pembersihan di kawasan balai tidak dapat dilakukan.

Tinjauan di kawasan balai berkenaan mendapati kerja-kerja pembersihan sudah dilakukan termasuk memindahkan kira-kira 40 kubur lama yang ditemui di situ.

Pekerja tapak pembinaan yang enggan dikenali mendakwa, mereka tidak dapat melakukan kerja pembersihan di kawasan itu kerana dikatakan terdapat banyak 'halangan'.

"Jentera yang digunakan untuk kerja pembersihan kerap rosak dan bila dihantar untuk dibaiki didapati tiada kerosakan, atap sebelah siang kita bawa turun, esoknya ada atas balik, tersusun seperti asal. Memang tidak boleh buat kerja.

"Alhamdulillah selepas usaha dilakukan seorang ustaz, kawasan ini sudah pulih daripada entiti mistik dan kerja pembinaan kini sudah berjalan lancar.

"Kawasan semak sudah dibersihkan termasuk memindahkan beberapa kubur lama, cuma bangunan saja belum dapat dirobohkan, bukan kerana gangguan mistik tetapi beberapa sebab lain kerana ia masih hak milik kerajaan.

"Justeru itu, saya berharap orang ramai tidak lagi mengaitkan kawasan balai ini dengan cerita-cerita misteri kerana kawasan ini sudah aman dan kerja-kerja pembinaan pun sudah berjalan seperti biasa," katanya ditemui di kawasan balai berkenaan, hari ini.

Menceritakan entiti mistik yang didakwa berlaku di kawasan balai berkenaan, penduduk, Abu Bakar Abd Ghani, 66, berkata, kawasan tapak balai itu suatu ketika dulu adalah tanah perkuburan lama.

Katanya, sebahagian kubur sudah dipindahkan selepas kerajaan mahu membina jalan dan jambatan.

Menurutnya, sebelum adanya jambatan, orang dulu menggunakan feri yang ditarik dengan kabel untuk menyeberangi sungai Marang.

Selain itu katanya, entiti mistik yang berlaku dikatakan ada kaitan dengan seorang bomoh pemuja jin yang tinggal bersebelahan balai berkenaan.

"Sebenarnya polis tahu aktiviti bomoh berkenaan tetapi tidak boleh menangkapnya kerana kawasan itu sudah 'dikawal' dengan aktiviti pemujaan.

"Bomoh terbabit dikatakan menanam tengkorak manusia yang dibalut dengan kain kuning di kawasan pintu masuk balai bertujuan untuk mengawal seluruh kawasan berkenaan," katanya.

Abu Bakar yang juga pesara tentera mendakwa mengenali bomoh terbabit berikutan lelaki itu pernah bekerja sebagai nelayan dengan arwah bapanya sebelum persahabatan mereka terputus kerana arwah bapa tidak bersetuju dengan amalan lelaki berkenaan.

Katanya, bomoh terbabit memuja jin dan sihir yang bertentangan dengan Islam.

"Dia (bomoh) berasal dari Siam (Thailand) dan mempelajari ilmu berkenaan daripada bapa angkat di Siam sebelum masuk ke sini (Terengganu) dan memeluk Islam.

"Ketika masuk dulu (Terengganu) dia tinggal di Besut kemudian pindah ke Batu Rakit selepas penduduk kampung menghalaunya selepas kerja bomoh yang dilakukan terbongkar sebelum menetap di sini (Marang).

"Arwah bapa pernah memberitahu saya terdapat tengkorak manusia yang dibalut dengan kain kuning dan rangka lengan budak yang diletakkan dalam buluh dalam rumahnya," katanya.

Tiada ulasan: