Hidir Reduan Abdul Rashid
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan untuk bekas ahli parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman membayar kos guaman RM120,000 kepada bekas ahli parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad dan portal video KiniTV.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh M Nantha Balan dan dianggotai oleh hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Choo Kah Sing sebulat suara membenarkan rayuan Khalid dan KiniTV semasa prosiding mahkamah terbuka pagi ini.
Rayuan itu dikaitkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lepas yang menolak saman fitnah Tajuddin terhadap perayu tetapi tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.
Nantha memutuskan bahawa mahkamah rendah hanya memberi penjelasan ringkas mengapa ia tidak menganugerahkan kos kepada mana-mana pihak dan tidak memberikan alasan penuh atas justifikasinya untuk tidak memberikan kos dalam perkara itu.
Hakim kemudiannya mengarahkan Tajuddin membayar kos RM60,000 kepada setiap dua perayu iaitu Khalid dan KiniTV.
Kos adalah untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi, kebenaran merayu di Mahkamah Rayuan, serta rayuan sebenar di hadapan mahkamah rayuan.
Pada 22 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Tajuddin terhadap Khalid, KiniTV dan akhbar berbahasa Inggeris News Straits Times (NST).
Tuntutan itu dikaitkan dengan beberapa siri sidang akhbar mengenai insiden 2016 di mana Tajuddin didakwa merujuk kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di Parlimen sebagai satu-satunya wanita yang mempunyai "Kok", dan Khalid dikatakan bertindak balas dengan memanggilnya "sial".
Pada 22 Feb 2017, Tajuddin, timbalan menteri pertanian dan asas tani ketika itu, memfailkan saman terhadap Khalid berhubung sidang media di luar Dewan Rakyat sejurus selepas insiden itu.
Tajuddin juga menyaman KiniTV Sdn Bhd - anak syarikat Malaysiakini - dan The New Straits Times Press (M) Bhd berhubung liputan mereka terhadap sidang media Khalid.
Dalam menolak saman fitnah itu, pesuruhjaya kehakiman Latifah Mohd Tahar (yang sejak itu dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Tinggi) tidak membuat sebarang perintah mengenai kos, dengan alasan ia adalah kerana kes itu adalah untuk kepentingan awam.
Tajuddin didakwa membuat kenyataan itu pada 2016.
Peguam Sankara Nair dan K Shanmuga mewakili Khalid dan KiniTV, manakala peguam Hasnal Rezua Merican mewakili Tajuddin.
NST tidak merayu kepada Mahkamah Rayuan berhubung isu kos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan