"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanya kerana tak lulus ujian lesen memandu, remaja 17 tahun terjun jambatan Pulau Pinang

Zuhainy Zulkiffli
bhnews@bh.com.my
Remaja berusia 17 tahun yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang, tiga hari lalu ditemukan selamat berhampiran kawasan pelabuhan (Penang Port Sdn Bhd). - NSTP/FOTO IHSAN JBPM
Remaja berusia 17 tahun yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang, tiga hari lalu ditemukan selamat berhampiran kawasan pelabuhan (Penang Port Sdn Bhd). - NSTP/FOTO IHSAN JBPM
BUTTERWORTH: Seorang remaja berusia 17 tahun yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang, tiga hari lalu, ditemukan selamat berhampiran kawasan pelabuhan, Penang Port Sdn Bhd di sini, hari ini.

Mangsa ditemukan dalam keadaan lemah oleh pegawai operasi bomba pelabuhan di kawasan berhampiran.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Faris Izwan Ahmad Fadzilah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada jam 10.25 pagi.

Beliau berkata, mangsa yang tidak mengalami kecederaan serius diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi tindakan lanjut.

"Mangsa dalam keadaan lemah dan kini sedang menerima rawatan di HSJ.

"Kes diserah kepada pihak polis dan operasi tamat pada jam 10.51 pagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat remaja terbabit dilakukan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Butterworth selepas menerima panggilan pada jam 11.23 pagi, Khamis lalu.

Mangsa dikatakan meninggalkan motosikalnya di Kilometer 2.2 menghala ke pulau sebelum bertindak terjun dari jambatan berkenaan.

Faris Izwan berkata, sejurus terjun dari jambatan, mangsa dikatakan berenang sebelum tersangkut pada pokok bakau dan berlumpur di berhampiran pelabuhan berkenaan.

Sepanjang tempoh dua hari, mangsa dikatakan beberapa kali melambai ke arah orang awam yang beriadah di kawasan itu namun tidak ada yang perasan.

"Sekitar jam 9 pagi tadi, dia cuba melambai ke arah pegawai operasi bomba pelabuhan itu, sebelum diselamatkan lelaki terbabit.

"Mangsa dikatakan tertekan kerana tidak lulus ujian memandu sebanyak dua kali dan bimbang dimarahi ibu saudara yang menjaganya.

"Dia kemudian menunggang motosikal ibu saudaranya sebelum berhenti di atas jambatan lalu terjun ke laut," katanya.

Tiada ulasan: