"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adly: PAS bukan seteru Amanah, terbuka ‘bersama’ dalam kerajaan perpaduan

Nora Mahpar

KLANG: PAS bukan seteru atau ancaman kepada Amanah, malah sedia bekerjasama dengan parti Islam itu dalam kerajaan perpaduan, kata Naib Presiden Adly Zahari.

Bagaimanapun, beliau yang juga timbalan menteri pertahanan berkata PAS perlu mengikis naratif 3R (kaum, agama, raja) yang dibawanya agar kestabilan politik dan masa depan negara tidak tergugat.

“Dia memang lawan politik kita tetapi kadang-kala bila memikirkan rakyat, kita tahu lawan itu kadang-kala jadi kawan kita kerana prinsip menjaga rakyat itu mengatasi kepentingan politik dan kepentingan individu.

“Semua yang pernah berlawan pernah jadi kawan. Ia bukanlah sesuatu yang asing bagi kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Wanita Amanah 2023.

“Sebab itu daripada awal lagi kita sebenarnya bersedia untuk bekerjasama dengan (mana-mana) parti-politik dalam (membentuk) kerajaan perpaduan.”

Oktober lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau pernah menjemput PAS menyertai kerajaan perpaduan pada tahun lalu namun tawaran itu ditolak parti berkenaan.

Dalam temu bual bersama Time Magazine pada 11 Okt, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menyatakan pintu untuk PAS menyertai kerajaan perpaduan masih terbuka dengan syarat parti itu perlu menerima Malaysia sebagai negara berbilang agama, meskipun Islam sebagai agama persekutuan.

Bagaimanapun, Presiden Hadi Awang pada Muktamar PAS di Shah Alam pada 20 Okt menegaskan PAS tidak akan menyertai kerajaan perpaduan.

Tiada ulasan: