"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis tahan lelaki tikam wanita sampai mati

Bernama
Mayat wanita itu ditemui di tempat duduk hadapan kereta yang diletakkan di depan sebuah rumah di Kapar, Klang semalam. (Gambar PDRM)
SHAH ALAM: Seorang wanita tempatan maut akibat ditikam beberapa kali pada bahagian depan dan belakang badan oleh seorang lelaki, dalam kejadian yang berlaku di Jalan Bayu Tinggi 5, Taman Chi Liung, Klang petang semalam.

Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima laporan pada 2.17 petang berkenaan kejadian itu, daripada seorang wanita yang menyatakan mangsa ditikam oleh seorang lelaki tempatan, yang kemudiannya membawa wanita itu menaiki kereta.

“Hasil siasatan mendapati pada 1.20 tengah hari semalam, mangsa berusia 26 tahun itu berjumpa dengan suspek di sebuah restoran dan selesai makan mereka berdua pergi ke lokasi parkir kereta di Jalan Bayu Tinggi 5.

“Apabila sampai di kereta, suspek menikam mangsa beberapa kali di badan menggunakan pisau dan kemudian memasukkannya ke dalam kenderaan itu sebelum beredar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata lelaki itu kemudian terus memandu ke rumahnya di Jalan Sungai Nibong 5, Kapar dan sebaik tiba, suspek cuba mengejutkan mangsa namun tidak berjaya.

Suspek berumur 44 tahun itu kemudian telah mencederakan diri sendiri dengan menikam badannya dipercayai menggunakan pisau yang sama, sebelum polis tiba di lokasi pada jam 4.20 petang bagi menahan lelaki itu.

“Pemeriksaan di dalam kereta menemukan mangsa di bahagian tempat duduk penumpang hadapan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pihak paramedik mengesahkan wanita itu meninggal dunia. Unit forensik polis juga menemukan pisau dipercayai digunakan suspek,” katanya.

Cha berkata suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod lampau, kini direman selama tujuh hari sehingga 25 Dis dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau memberitahu bedah siasat yang dijalankan mendapati, mayat mangsa mempunyai banyak kesan tikaman di bahagian depan dan belakang badan dan punca kematian ialah disebabkan kesan tikaman di dada yang tembus ke jantung.

Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan.

Tiada ulasan: