"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas lebih dua bulan mengganas, hospital terakhir Gaza habis ranap dibedil

HarapanDaily.com

Selepas lebih dua bulan Israel mengganas, salah satu hospital terakhir yang masih bertahan di Gaza utara tidak dapat lagi beroperasi hari ini selepas dibedil rejim zionis itu.

Lapor AFP, Pengarah Hospital Al-Ahli, Fadel Naim berkata, tentera Israel menyerang hospital dan menahan ramai doktor, kakitangan perubatan dan pesakit selain memusnahkan sebahagian daripada kawasan bangunan itu.

“Serangan Israel mengakibatkan hospital tidak dapat lagi beroperasi, kami tidak lagi boleh menerima mana-mana pesakit atau mangsa yang cedera,” katanya.

Tambah beliau, sekurang-kurangnya empat orang yang cedera akibat tembakan Israel semalam di hospital terbabit meninggal dunia hari ini akibat kecederaan yang dialami.

“Menurut maklumat kami, terdapat berpuluh-puluh orang yang cedera di jalanan sekitar hospital ini,” katanya.

Hospital Al-Ahli, yang juga dikenali sebagai hospital Baptist atau Ahli Arab, mengalami kerosakan teruk akibat letupan di tempat letak keretanya pada 17 Oktober lalu, mengakibatkan sekurang-kurangnya puluhan mangsa maut.

Kumpulan pejuang Hamas dan Jihad Islam menuduh serangan itu dilakukan Israel, tetapi ia dinafikan rejim tersebut.

Israel malah menyalahkan roket yang dikatakan salah ditembak oleh Jihad Islam menyebabkan letupan itu.

Hospital dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa tetapi ia berulang kali diserang Israel di Gaza sejak bermulanya perang antara Israel dan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Tentera Israel sebelum ini menyerbu kemudahan perubatan lain di Gaza, termasuk Al-Shifa, hospital terbesar di wilayah itu, yang kini beroperasi pada kapasiti minimum dengan pasukan yang sangat kecil.

Pada 17 Disember lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, hospital Al-Ahli menerima ‘pesakit kritikal’ daripada Al-Shifa untuk pembedahan.

Genosid Israel di Gaza menyaksikan serangan bertalu-talu ke atas hospital-hospital di wilayah Palestin yang dikepung.

Pembunuh zionis menegaskan tindakannya mengebom hospital-hospital terbabit kerana penduduk Gaza telah membiarkan pusat kesihatan dijadikan sebagai markas Hamas.

Akibat kempen pengeboman Israel itu, ribuan penduduk Gaza yang berlindung di hospital turut terkorban.

Tiada ulasan: