"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gaza: Penduduk bertungkus lumus cari mayat di sekitar hospital

AFP
KESAN kemusnahan susulan serangan Israel di Hospital Kamal Adwan. FOTO Reuters
KESAN kemusnahan susulan serangan Israel di Hospital Kamal Adwan. FOTO Reuters
Gaza: Penduduk Palestin bertungkus lumus mencari mayat dipercayai tertimbus di bawah runtuhan di sekitar Hospital Kamal Adwan dekat bandar Beit Lahiya, di utara Gaza.

Bunyi tangisan salah seorang daripada mereka kedengaran ketika dia menutupi satu mayat untuk urusan pengebumian.

Mahmud Assaf, 50, berkata, dia datang ke hospital dari Jabalia dengan membawa kereta untuk mengambil dua anak saudaranya yang sebelum ini dirawat di hospital itu selama 10 hari.

"Saya dapati Hadi lumpuh... terbaring di bawah kerusi. Segala-galanya berada di atasnya," katanya, ketika bercerita mengenai salah seorang kanak-kanak yang kelihatan hampir tidak sedarkan diri dan melecur teruk.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas melaporkan pada 12 Disember lalu bahawa tentera Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan di sini.

Tentera zionis mengepung hospital itu selama beberapa hari.

Pada Sabtu, tentera Israel berkata, pihaknya menyelesaikan aktivitinya di kawasan Hospital Kamal Adwan yang didakwanya digunakan Hamas sebagai pusat arahan dan kawalan.

Tentera Israel mendakwa menemukan senjata dan menahan kira-kira 80 pejuang Hamas di hospital itu. Ia hospital kerajaan terakhir yang berfungsi di utara Gaza.

Assaf berkata, dia mahu membawa pergi kanak-kanak itu dengan cepat kerana tentera sudah berundur dari situ, tetapi terkejut dengan kemusnahan besar-besaran yang dilihatnya di hospital.

"Pesakit ada di mana-mana.

"(Kanak-kanak itu mempunyai) kes melecur serius tanpa menerima apa-apa untuk dimakan, diminum atau rawatan," katanya.

Hamas menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di hospital dan mendakwa tentera zionis menembak bilik pesakit, menangkap kakitangan dan menggunakan jentolak untuk memusnahkan khemah individu yang berlindung di situ.

Perkarangan Hospital Kamal Adwan dipenuhi dengan jejak kereta kebal dan jentolak Israel.

Semua infrastruktur kesihatan di Semenanjung Gaza terjejas teruk susulan pengeboman dari udara dan operasi darat oleh tentera Israel.

Tiada ulasan: