"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita berbogel atas tangki air, dakwa bersembunyi daripada individu tidak dikenali

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com

Bagan Serai: Seorang wanita yang ditahan polis dalam keadaan berbogel di atas tangki air milik Lembaga Air Perak (LAP) berhampiran pasar awam di sini memberi alasan mahu menyembunyikan diri daripada diganggu individu tidak dikenali.

Difahamkan, wanita yang dikatakan kurang siuman itu memasuki dan memanjat tangki air terbabit kira-kira 2 petang sebelum orang awam menghubungi pihak berkuasa memaklumkan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Juna Yusoff berkata, sebaik menerima laporan kejadian itu, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian bersama sepasukan anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai.

Beliau berkata, wanita terbabit berjaya dipujuk anggota bomba sebelum dibawa ke Balai Polis Bagan Serai untuk tindakan lanjut.

"Siasatan awal mendapati wanita berusia 39 tahun itu menetap di Kuala Lumpur dan tiba di Bagan Serai kelmarin menaiki kenderaan awam.

"Wanita itu memaklumkan dia menaiki tangki air itu disebabkan mahu menyembunyikan diri dari diganggu individu yang tidak dikenalinya," katanya dalam kenyataannya, malam ini.

Menurutnya, polis kini dalam proses untuk menyerahkan wanita berkenaan kepada keluarganya di Kuala Lumpur.

Terdahulu, orang ramai di kawasan terbabit gempar dengan tindakan wanita itu yang berbogel selepas menaiki tangki air milik LAP berkenaan.

Ketika kehadiran pasukan keselamatan, wanita itu dikatakan melambai tangan ke arah anggota keselamatan terbabit sebelum menyembunyikan diri pada satu ruang di atas tangki itu.

Tidak lama kemudian, wanita itu kelihatan berkomunikasi dengan anggota keselamatan dan sempat meminta pakaiannya sebelum berjaya dibawa turun dengan selamat.

Tiada ulasan: