"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Meninggal dunia selepas makan sandwic dibeli di R&R, jabatan kesihatan tunggu analisis sampel

FMT Reporters

PETALING JAYA: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang menunggu keputusan analisis sampel makanan, berkait dakwaan tular punca wanita berusia 54 tahun keracunan hingga meninggal dunia, pada Selasa.

Pengarah JKNT Kasemani Embong, berkata pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman telah menerima notifikasi kes keracunan makanan itu pada Khamis dan terus bertindak menjalankan siasatan dengan mengambil beberapa sampel makanan daripada peniaga terlibat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman, pada hari sama.

“PKD Kemaman telah menerima notifikasi kes keracunan makanan seorang wanita yang mengalami gejala keracunan makanan akibat memakan makanan yang dibeli di R&R Perasing. Mangsa mula mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, dan muntah selepas makan makanan dipercayai telah basi.

“Susulan pemakluman itu, beberapa sampel makanan serta swab peralatan dan pengendali makanan telah diambil untuk membantu siasatan. Pihak JKNT masih menunggu keputusan sampel-sampel ini,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, keputusan analisis berkenaan akan diperoleh sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Kasemani berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan arahan pembetulan telah dikeluarkan kepada pemilik serta pengendali makanan di premis berkenaan.

Beliau berkata, JKNT memandang serius berkaitan kes keracunan makanan dan mengarahkan pengendali makanan supaya sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan serta keselamatan makanan atau minuman yang dijual kepada orang ramai.

“Selain itu orang ramai juga dinasihatkan supaya mengamalkan konsep lihat, hidu, dan rasa sebelum makan untuk mengelak makan makanan yang telah basi,” katanya.

Semalam, tular menerusi media sosial berkaitan seorang wanita didakwa meninggal dunia selepas makan roti sandwic yang dibeli di R&R Perasing.

Tiada ulasan: