"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menantu Hadi pernah cakap pengampunan Najib jalan terbaik menurut Islam

SITI NUR ZAWANI

“Memberi pengampunan kepada bekas perdana menteri, Najib Razak adalah jalan terbaik menurut perspektif Islam”. 

Demikian kenyataan yang pernah dikeluarkan menantu kepada Presiden Pas, Zaharudin Muhammad Abdul Hadi tahun lalu.
Di tengah-tengah kecaman dilempar terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengurangan 50 peratus hukuman kepada Datuk Seri Najib Razak, tular semula kenyataan tersebut sebagai membalas kecaman penyokong pembangkang terhadap kerajaan.

Menantu Abdul Hadi itu antara lain dilapor berkata, yang lebih dekat dengan keadilan dan Islam apabila tersalah melepaskan orang bersalah, yang lebih baik berbanding tersalah menghukum orang yang tidak bersalah.

Kelmarin, Pas juga mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan untuk memendekkan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun serta denda RM50 juta membabitkan Najib Razak, perlu dihormati semua pihak.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan tersebut harus diterima walaupun sukar untuk diterima oleh keluarga dan penyokong bekas perdana menteri itu.

Kenyataan itu sepertinya perlu diterima penyokong pembangkang yang ketika ini banyak menuding dan menyalahkan kerajaan ekoran pengampunan 50 peratus yang diberikan.
Yang mengecewakan apabila penyokong ‘Bosku’ juga menyerang PMX. Mereka seolah-olah menyalahkan Perdana Menteri kerana tidak melepaskan Najib Razak.

Padahal, kuasa pengampunan itu pada Tuanku, bukan pada Lembaga Penasihat, Perdana Menteri, Menteri mahu pun Kabinet.

Seperti kata pemerhati politik, Norman Radzuan, baginda Al-Sultan Abdullah pasti telah memperhalusi sebaik-baiknya segala keputusan itu untuk tidak membuatkan politik negara kembali berkocak.

Tiada ulasan: