"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Zulkifli jawab fitnah dakwaan sanggup berhenti jadi mufti sebab nak tebuk atap

SITI NUR ZAWANI

Mantan Menteri Agama, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menyanggah dakwaan seorang individu bahawa beliau sanggup berhenti sebagai mufti demi jawatan ‘menteri tebuk atap’.

“Naif sangat. Letak jawatan mufti kerana nak jadi menteri tebuk atap,” kata salah seorang pengguna X pada hantaran Dr Zulkifli baru-baru ini.

Tidak berdiam diri, bekas menteri sewaktu pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Md Yasin itu menyifatkan politik di Malaysia tidak akan maju selagi orang seperti itu dibiarkan bebas memfitnah. 

Beliau juga menyertakan video pendek penjelasannya berhubung bagaimana beliau dilantik sebagai menteri.

“Saya jarang balas kenyataan tidak matang. 

“Namun bila ia melibatkan kredibiliti saya, anda perlu sedar bahawa anda adalah contoh terbaik mengapa politik di Malaysia tak akan ke mana-mana selagi orang seperti anda (walau akaun palsu) dibiarkan bebas memfitnah. 

“Saya telah jawab bagaimana saya dilantik sebagai Menteri, dalam podcast Keluar Sekejap,” katanya.
 
Menerusi podcast Keluar Sekejap, Dr Zulkifli menjelaskan bahawa beliau menerima jawatan menteri hanya selepas diperkenan dan dipersetujui Yang di-Pertuan Agong waktu itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Malah sebelum berlaku pertukaran kerajaan, baginda Al Sultan ketika itu sudah beberapa kali menyatakan hasrat menjadikan Dr Zulkifli sebagai mufti bertaraf menteri.

“Masa saya jadi mufti tu, baginda datang dua tiga kali baginda sebut. Saya nak lantik Dr Zul sebagai mufti bertaraf menteri. Baginda sebut kepada Jakim. Dalam lif baginda sebut.

“Saya ingat kertas cadangan itu hampir diangkat sebelum pertukaran kerajaan. Dan saya pun tak tahu apa-apa sehinggalah berlaku pertukaran.

“Masa itu Mahiaddin telefon saya pada waktu petang, bila dia tanya nak terima tak jawatan.. saya sejujurnya jawab kena tanya Yang di-Pertuan Agong. Kalau baginda setuju, saya setujulah,” kongsinya.

Pada masa sama, beliau juga melakukan solat istikharah bagi memohon petunjuk sebelum menerima pelantikan sebagai menteri.

Tiada ulasan: