"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selimut pemadam api akan diwajibkan kepada pemilik EV

ABDUL RAZAK IDRIS
Tengku Zafrul (dua dari kanan), dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Ir. Dr. Ahmad Sabirin Arshad (tiga dari kanan), melihat demonstrasi pemadaman api ke atas kereta elektrik menggunakan Selimut Pemadam Api, di SIRIM Shah Alam.-Foto SHIDDIEQIIN ZON
SHAH ALAM – Kerajaan bercadang untuk mewajibkan penggunaan selimut pemadam api kenderaan elektrik (EV) yang berupaya mengekang haba sehingga 1,000 darjah Celsius kepada pemilik kenderaan jenis itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketetapan itu bagaimanapun tertakluk kepada hasil perbincangan pihaknya dengan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jawatankuasa EV.

Menurut beliau, kos seunit selimut pemadam api itu adalah RM4,800 hingga RM5,000 yang mampu mengawal kebakaran, tetapi menghalang pelepasan gas toksik.

“Hari ini saya menyaksikan demonstrasi penggunaan selimut pemadam api EV yang merupakan perkhidmatan terbaharu SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM) bagi meningkatkan keselamatan kenderaan EV yang akan memenuhi jalan raya di negara kita tidak lama lagi.

“SIRIM melakukan ujian ke atas selimut pemadam api EV dan meluluskan penggunaannya,” katanya selepas demonstrasi selimut pemadam api oleh SIRIM dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini hari ini.

Tengku Zafrul memberitahu, produk keselamatan tersebut buat masa ini diwajibkan untuk dimiliki operator stesen pengecas EV sahaja.

Namun, beliau berharap rumah pemilik EV, pejabat swasta dan kerajaan turut wajib dimiliki produk sama.

“Ujian ke atas produk itu membuktikan komitmen kerajaan untuk menjadikannya sebagai langkah merangka garis panduan keselamatan bagi penggunaan kenderaan EV seperti saranan oleh KPKT.

“Kita di MITI juga akan memastikan produk keselamatan ini ada di pasaran dan menepati syarat-syarat dan piaiwaian yang ditetapkan oleh SIRIM,” ujarnya

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menegaskan, SIRIM dalam proses untuk merangka Piaiwaian Keselamatan Selimut Kebakaran Untuk Industri agar garis panduan tersebut juga digunapakai oleh pihak pelabuhan dan pengendali logistik membabitkan kenderaan jenis tersebut. -KOSMO!ONLINE

Tiada ulasan: