"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 lelaki ditahan curi nasi, sandwich, duit di kedai serbaneka

BuletinTV3 

SUBANG JAYA: Tindakan dua lelaki menyamun kedai serbaneka 24 jam di Subang Jaya, di sini, dengan melarikan nasi lemak, sandwich dan wang tunai RM241 mengundang padah apabila ditahan polis dalam tempoh tidak sampai 24 jam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, pekerja lelaki berusia 29 tahun didatangi dua lelaki di mana salah seorang masuk ke kaunter bayaran dan memaksa mangsa menyerahkan wang hasil jualan.

Menurutnya, dalam ketakutan, mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM241.

“Suspek juga mengambil beg silang mangsa yang mengandungi dokumen peribadi, kunci kedai dan kunci motosikal yang disimpan di bawah meja kaunter, dua bungkus nasi dan dua bungkus sandwich lalu melarikan diri menyebabkan kerugian RM260.

“Susulan itu, pada jam antara 8.45 malam hingga 9.30 malam kelmarin, pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Subang Jaya, menahan dua lelaki berusia 23 dan 24 tahun serta merampas barangan kes di rumah suspek di Subang Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.

“Hasil siasatan dapati kedua-dua suspek datang dengan berpakaian baju hujan dan bertopi keledar.

“Salah seorang suspek mengambil dua bungkus nasi dan dua bungkus sandwich lalu masukkan ke dalam beg.

“Tidak lama kemudian, rakannya datang dan terus masuk ke kaunter memaksa pekerja itu menyerahkan wang hasil jualan,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 4 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini supaya tampil menyalurkan maklumat dan memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627222 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Fathurrahman Ampandi di talian 011-29395178.

Tiada ulasan: