Malaysiakini
Pemerintah keluarga Assad selama lima dekad di Syria berakhir selepas pejuang pembangkang menguasai Damsyik pada awal pagi Ahad.
Presiden Syria, Bashar al-Assad - yang memegang kuasa selama 24 tahun selepas menggantikan bapanya - dilaporkan melarikan diri dari negara itu.
Perdana Menteri Syria, Mohammed Ghazi Jalali, dipetik oleh media antarabangsa sebagai berkata dia bersedia untuk memudahkan peralihan kuasa secara aman kepada mana-mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Pemerintahan Assad menghadapi tekanan sejak 2011 apabila demonstrasi Arab Spring bertukar menjadi perang saudara.
Pembangkang ketika ini - yang dipimpin oleh kumpulan digelar Hayat Tahrir al-Sham (HTS) - melancarkan serangan pantas sejak penghujung November dan berjaya mengusir pasukan kerajaan dari bandar-bandar utama seperti Aleppo, Hama, dan Homs.
HTS merupakan cabang al-Qaeda dan dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh AS.
Namun, pada tahun 2023, pemimpinnya Abu Mohammed al-Golani dilaporkan cuba memperbaharui imej kumpulan tersebut dengan pendekatan yang lebih sederhana.
Menurut laporan Associated Press, Mohammed dikatakan sedang mempromosi agenda pluralisme dan toleransi agama, serta dilaporkan telah membubarkan polis agama di bawah kumpulannya.
Dia juga dilaporkan berkata undang-undang Islam tidak seharusnya dilaksanakan secara paksaan.
"Kami tidak mahu masyarakat menjadi hipokrit sehingga mereka solat ketika melihat kami tetapi tidak apabila kami tiada," dia dipetik sebagai berkata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan