"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua wartawan bergaduh, sidang media terganggu

Agensi
DIAZ ketawa kerana terlupa soalan ditanya apabila sidang media disambung selepas dua wartawan bergaduh. FOTO AFP

DIAZ ketawa kerana terlupa soalan ditanya apabila sidang media disambung selepas dua wartawan bergaduh. FOTO AFP
Boston: Persiapan Maghribi menjelang pertemuan suku akhir Piala Dunia 2026 menentang Perancis, awal pagi esok dicemari insiden mengejutkan apabila dua wartawan bertengkar ketika sidang media praperlawanan.

Suasana menjadi tegang ketika pemain tengah, Brahim Diaz sedang menjawab soalan media sebelum sesi itu terganggu akibat pertelingkahan antara dua wartawan.

Diaz yang juga pemain Real Madrid kelihatan terpinga-pinga apabila seorang wartawan mendakwa dirinya dipukul oleh wartawan lain di dalam bilik sidang media.

Messi semakin hampir pecahkan rekod 68 tahun
"Tapi kenapa awak pukul saya? Kenapa awak pukul saya? Awak tidak boleh pukul saya," kata wartawan itu sambil kedengaran marah.

Wartawan berkenaan kemudian mengulangi dakwaan, "Dia pukul saya! Dia pukul saya!" menyebabkan Diaz hanya mampu tersenyum sinis melihat situasi pelik berkenaan.

Pegawai Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bersama pegawai media Maghribi terpaksa campur tangan untuk menenangkan keadaan sebelum sidang media diteruskan.

Namun, insiden itu bertukar lucu apabila Diaz diberi peluang menyambung sesi soal jawab, tetapi pemain berusia 26 tahun itu tiba-tiba ketawa selepas mengakui terlupa soalan yang sedang dijawab.

Maghribi mara ke suku akhir selepas menewaskan tuan rumah bersama, Kanada, minggu lalu dan kini memburu peluang membalas dendam terhadap Perancis yang menamatkan perjalanan sensasi mereka pada separuh akhir Piala Dunia 2022.

Diaz memainkan peranan penting dalam kemaraan Maghribi apabila mencipta tiga bantuan jaringan sepanjang kejohanan dan kini menyasarkan untuk membantu pasukannya menyingkirkan skuad Perancis yang dibarisi bintang seperti Kylian Mbappe, Michael Olise serta Ousmaine Dembele.

Tiada ulasan: