"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seludup PATI dari Indonesia guna bot nelayan terbongkar

Amirul Aiman Hamsuddin

SEKINCHAN: Guna bot nelayan untuk bawa pendatang asing tanpa izin (PATI) ke tengah laut sebelum dipindahkan ke bot lain yang menuju ke Indonesia.

Itu modus operandi baharu sindiket penyeludupan migran bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas Bahagian Kongsi Gelap, Judi, dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Pasukan Polis Marin (PPM) menjalankan operasi di perairan Sekinchan, malam tadi.

Pasukan serbuan menaiki bot PPM yang tidak bertanda berjaya memintas sebuah bot nelayan kelas B yang membawa empat warga asing.

Vesel itu dikendalikan seorang lelaki warga Indonesia yang mendakwa bekerja dengan seorang pemilik bot tempatan.

Awalnya dia menafikan kenderaan itu digunakan untuk aktiviti penyeludupan.

Bagaimanapun, selepas soal siasat hampir 30 minit, lelaki terbabit akhirnya mengaku menerima bayaran daripada seorang penumpang warganegara sama dan diarahkan bertemu sebuah lagi bot nelayan di perairan antarabangsa bagi memindahkan lelaki itu sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Indonesia.

Polis bagaimanapun gagal memintas bot kedua kerana dipercayai memasuki perairan Indonesia ketika pengakuan itu diperoleh.

Siasatan mendapati beberapa petunjuk jelas yang membezakan bot berkenaan daripada bot nelayan tulen yang beroperasi di kawasan itu seperti tiada bekalan ais untuk menyimpan hasil tangkapan serta tiada bau hanyir ikan.

Tidak lama kemudian, apabila pasukan serbuan kembali ke darat seorang lelaki tempatan tiba dengan menaiki motosikal dan mendakwa dirinya pemilik bot nelayan yang dipintas itu.

Difahamkan, lelaki terbabit memiliki enam lagi bot nelayan dan tekong warga Indonesia yang ditahan dalam operasi itu merupakan salah seorang pekerjanya.

Sumber memaklumkan semua suspek yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Kesemua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Tiada ulasan: