Farhana Yaacob
am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Sesi kokurikulum di sebuah sekolah menengah di daerah ini bertukar kecoh apabila seorang pelajar lelaki dipercayai mengejar tiga rakannya sambil memegang pisau.
Dalam kejadian kira-kira 3 petang Khamis, pelajar Tingkatan Satu itu dipercayai mengejar rakannya dari dewan sekolah hingga berhampiran surau, sebelum berjaya ditenangkan guru dan pengawas yang mengepung serta merampas senjata berkenaan.
Sumber berkata, pelajar itu dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan perlu mengambil ubat secara berkala.
"Nasib baik guru-guru yang dibantu pengawas bertindak pantas mengawal keadaan sebelum berjaya merampas pisau yang dipegang pelajar terbabit.
"Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan pelajar mahupun guru dalam kejadian itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang membuat semakan lanjut berhubung kejadian sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Insiden ini berlaku empat hari selepas seorang remaja perempuan dipercayai menikam pelajar Tingkatan Tiga sekolah menengah di Banting, Selangor pada Isnin lalu.
Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera selepas terkena antara 14 hingga 16 tikaman, manakala suspek ditahan reman polis dan bakal dihadapkan ke mahkamah pada pagi ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan