"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM reman 33 individu berkait sendikit warga asing

Bernama

KUALA LUMPU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 33 individu termasuk pegawai penguat kuasa dan penjawat awam dalam operasi bersepadu di Putrajaya dan tiga negeri kerana disyaki terbabit dalam sindiket yang melakukan pelbagai kesalahan berkaitan urusan warga asing.

Menurut sumber, 10 pegawai penguat kuasa ditahan dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pekerja syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 serta mengeluarkan visa, pas dan permit tanpa melalui prosedur ditetapkan.

Sumber itu memberitahu kesalahan lain yang dikesan adalah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi permohonan dan mendapatkan kuota pekerja asing.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 24 lelaki dan sembilan wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan oleh Bahagian Perisikan SPRM dan SPRM negeri di Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka semalam.

“Siasatan awal mendapati kesemua mereka disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2021 hingga tahun ini,” menurut sumber itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A), 17(a), 17(b) dan 18 Akta SPRM 2009.

Abd Halim juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat untuk tujuan tersebut.

Tiada ulasan: