FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman 14 bulan selepas Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kesalahan menerima rasuah.
Mahkamah turut membenarkan rayuan balas pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan Mohd Ridhuan Kasah daripada satu lagi pertuduhan rasuah sekali gus mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan.
Bagaimanapun, Ridhuan, 48, hanya akan dipenjara selama 14 bulan selepas mahkamah memerintahkan dia menjalani kedua-dua hukuman secara serentak bermula hari ini, lapor Bernama.
Ridhuan juga diarah membayar denda RM20,000 atau menjalani hukuman penjara tambahan selama 12 bulan, jika gagal berbuat demikian.
Sebelum ini, Ridhuan memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman dan dibebaskan dengan jaminan RM20,000 berserta seorang penjamin sementara menunggu rayuannya diputuskan.
Hakim Noorin Badaruddin ketika menyampaikan keputusan panel tiga hakim itu berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila melepas dan membebaskan Ridhuan daripada pertuduhan pertama namun membuat keputusan yang tepat apabila mengekalkan sabitan dan hukuman bagi pertuduhan kedua.
Dua lagi anggota panel rayuan itu adalah Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Meor Hashimi Abdul Hamid.
Noorin berkata pendakwaan mengemukakan keterangan yang jelas, konsisten serta boleh dipercayai, dan berjaya membuktikan setiap elemen penting dalam pertuduhan pertama.
Menyentuh mengenai pertuduhan kedua, Noorin berkata pembelaan Ridhuan hanyalah penafian semata-mata dan gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung kesalahan yang telah dibuktikan oleh pendakwaan.
Ridhuan didakwa atas dua pertuduhan menerima RM1,000 daripada Syed Mohd Firdaus Syed Hussin di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Pekan di Pahang sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lelaki itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan pertama pada 5 petang 18 Sept 2020 dan kesalahan kedua pada 12.30 tengah hari, keesokan harinya.
Pada 7 Feb 2024, Mahkamah Sesyen mensabitkan Ridhuan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan pertama serta 14 bulan penjara dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan bagi pertuduhan kedua, dengan kedua-dua hukuman berjalan serentak.
Pada 3 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi membebaskan Mohd Ridhuan daripada pertuduhan pertama namun mengekalkan sabitan dan hukuman bagi kesalahan kedua.
Ridhuan diwakili peguam Mohammad Hissham Ramdzan, Mohamad Hamizey Mat Taib dan Halimaton Saadiah Abu Samah.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Farah Ezlin Yusof Khan, Ifa Sirrhu Samsudin, Nidzuwan Abd Latip serta Atirah Mohd Azuarizanuddin hadir bagi pihak pendakwaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan